Maut dilanggar ketika tunggu bantuan

Keadaan Perodua Myvi mangsa yang dilanggar ketika sedang menunggu bantuan selepas terbabit kemalangan. Foto PDRM
Keadaan Perodua Myvi mangsa yang dilanggar ketika sedang menunggu bantuan selepas terbabit kemalangan. Foto PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki maut dilanggar ketika sedang menunggu bantuan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 258.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Isnin.

Kejadian jam 5.45 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Cyberjaya menghala ke Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, sebelum itu kereta Perodua Myvi dipandu mangsa telah terbabas dan melanggar besi penghadang bahu kiri jalan.

"Mangsa kemudian turun dan berhenti di sebelah kiri jalan untuk menunggu bantuan.

"Namun selang beberapa minit, sebuah kereta Proton Persona yang berada di lorong kanan telah terbabas dan berpusing masuk ke lorong kiri lalu melanggar mangsa dan keretanya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah di perut dan kaki serta disahkan maut di lokasi kejadian.

Keadaan kereta Proton Persona yang terlibat dalam kemalangan berlaku di Kilometer 258.1 Lebuhraya PLUS. Foto PDRM
Keadaan kereta Proton Persona yang terlibat dalam kemalangan berlaku di Kilometer 258.1 Lebuhraya PLUS. Foto PDRM

Ujarnya, pemandu Proton Persona lelaki berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,"katanya.

Beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati semasa memandu terutama pada waktu gelap dan cuaca yang tidak baik bagi mengelakkan sebarang kecelakaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!