'Ahmad Zahid sahaja panggil saya Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' - Tun M

Ahmad Zahid, Dr Mahathir
Ahmad Zahid, Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Nama saya Tun Dr Mahathir bin Mohamad, bukan seperti dakwaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty", kata bekas Perdana Menteri itu, di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Dr Mahathir yang menyambut hari lahir ke-99 pada bulan lalu, berkata demikian ketika prosiding kes samannya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid, 71 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Gan Techiong.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, semasa Mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 lalu, Ahmad Zahid selaku defendan mengeluarkan kenyataan palsu dan bersifat fitnah terbabit, kemudian ia diterbitkan semula di akaun Youtube Astro Awani.

Menerusi pernyataan saksi, Dr Mahathir berkata, kad pengenalan, sijil kelahiran lama dan baharunya menunjukkan beliau berbangsa Melayu serta beragama Islam sejak lahir.

“Defendan telah memfitnah saya, dia juga seorang yang menipu, sedangkan beliau tahu nama penuh saya ialah Mahathir bin Mohamad.

“Bagaimanapun, beliau secara terbuka, di hadapan orang ramai menipu menyatakan Mahathir anak lelaki Kutty,” katanya.

Ketika menjawab soalan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, Dr Mahathir berkata, sejak lahir kemudian menjejakkan kaki ke universiti dan menjadi doktor, beliau tidak pernah ditujukan kad pengenalan yang menggunakan nama ‘Kutty’.

Bekas pemimpin Bersatu itu berkata, sehinggalah Ahmad Zahid membuat kenyataan kononnya Presiden UMNO tersebut mempunyai kad pengenalan biru milik Mahathir, dan memanggilnya dengan nama ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Artikel Berkaitan:

“Ini satu pembohongan oleh Ahmad Zahid, bapa saya bernama Mohamad bin Iskandar sementara ibu saya adalah Wan Tempawan binti Wan Hanapi.

“Bapa saya seorang Melayu berasal dari Pulau Pinang, di mana nenek moyang saya mempunyai darah yang berketurunan dari negeri selatan India, iaitu Kerala.

“Ibu saya pula berasal dari Kedah dan masing-masing berketurunan Melayu sejati,” katanya.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir percaya, individu yang dirujuk Ahli Parlimen Bagan Datuk selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia, dipandang serong.

Dr Mahathir juga mendakwa, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui.

Dalam satu kenyataan media, peguam, Rafique Rashid yang mewakili Dr Mahathir berkata, anak guamnya selaku plaintif akan memberikan keterangan pada jam 10 pagi.

Katanya, plaintif dijangka tiba di lobi mahkamah pada jam 9.40 pagi dan sama ada terdapat sidang media atau sebaliknya, akan dimaklumkan kemudian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!