Terengganu jangka kehadiran pelancong cecah lapan juta

Razali (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran De Rantau@Terengganu
Razali (tengah) ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran De Rantau@Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menjangkakan kedatangan pelancong mencecah seramai tujuh hinggga lapan juta pelancong ke negeri itu menjelang akhir tahun.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ini kerana seramai 5.2 juta pelancong telah direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini.

Beliau menambah ia sekali gus telah melebihi sasaran awal ditetapkan sebelum ini iaitu seramai 4.5 juta pelancong yang dianggarkan sepanjang tahun.

"Sasaran kedatangan pelancong sebenarnya sehingga hujung tahun ini adalah seramai 4.5 juta orang tetapi ia melebihi sasaran awal ditetapkan apabila seramai 5.2 juta pelancong direkodkan sehingga bulan Jun lepas.

"Selepas ini, kita akan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL). Jadi saya yakin akan ada pertambahan (kehadiran pelancong) dalam 40 hingga 50 peratus lagi.

"Insya-ALLAH...mungkin akan cecah seramai tujuh hingga lapan juta pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas

Majlis Pelancaran De Rantau@Terengganu di Kampung Budaya Terengganu di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya kini sedang merangka program dan aktiviti menarik bagi mengalakkan kedatangan pelancong ke Terengganu pada musim MTL.

Beliau berkata, persepsi bahawa aktiviti pelancongan dikurangkan semasa MTL di Terengganu perlu diubah kerana terdapat tempat pelancongan menarik lain yang dapat ditawarkan kepada pelancong seperti Tasik Kenyir untuk dikunjungi sewaktu musim tersebut.

"Sememangnya pada musim MTL, kerajaan tak bernah tutup perniagaan tetapi pengusaha sendiri mengurangkan aktiviti sebab tiada pelancong yang datang disebabkan laut bergelora, angin kuat dan sebagainya.

"Namun begitu, walau macam mana pun ada beberapa program yang kita laksanakan untuk memastikan tidak berlaku penurunan kedatangan pelancong secara mengejut pada musim MTL.

"Jadi kita masih ada Tasik Kenyir yang boleh dikunjungi dan kita secara agresif dan aktif mempromosikan Tasik Kenyir supaya dapat dilawat oleh pelancong tempatan mahupun antarabangsa," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!