Elak monyet, kereta dinaiki 6 sekeluarga terjunam dalam parit

Orang ramai membantu menyelamatkan kanak-kanak selepas kereta dinaiki enam sekeluarga terjunam ke dalam parit di Bagan Serai, Sabtu lalu. Foto: ihsan pembaca
Orang ramai membantu menyelamatkan kanak-kanak selepas kereta dinaiki enam sekeluarga terjunam ke dalam parit di Bagan Serai, Sabtu lalu. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

BAGAN SERAI - [DIKEMAS KINI] Enam sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam parit dipenuhi air di Kilometer 15, Jalan Selama -Bagan Serai, Sabtu lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 3.45 petang itu, kereta jenis Proton Iriz yang dipandu seorang wanita telah membawa lima penumpang termasuk empat kanak-kanak berusia setahun hingga 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Selama menuju ke Bagan Serai.

Menurut beliau, kemalangan berlaku apabila kenderaan terbabit cuba mengelak sekumpulan monyet sebelum terbabas.

"Kereta berkenaan melanggar sebatang tiang elektrik dan terjatuh dalam parit di sebelah kanan jalan.

"Kesemua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan dibawa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Parit Buntar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Juna berkata, kesemua mangsa dibenarkan pulang pada hari sama selepas pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan serius.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu lintas 166/59.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu tular video berdurasi 35 saat di media sosial memaparkan tindakan berani dua lelaki berenang menyelamatkan keenam-enam mangsa kemalangan sebelum kereta terbabit tenggelam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!