Sindiket dipercayai kaut untung hingga RM400 juta sejak 2012

Dua beradik direman SPRM di Mahkamah Majistret Sibu, pada Isnin. Wang tunai kira-kira RM3.7 juta disita SPRM untuk siasatan sindiket penyelewengan diesel.
Dua beradik direman SPRM di Mahkamah Majistret Sibu, pada Isnin. Wang tunai kira-kira RM3.7 juta disita SPRM untuk siasatan sindiket penyelewengan diesel.
A
A
A

SIBU - Dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak dipercayai terlibat dalam sindiket seleweng diesel antara lima diberkas di sekitar Sungai Bidut, di sini pada Ahad.

Majistret, Romaroi Jonoi kemudian membenarkan suspek lelaki berusia 40-an direman selama empat hari sehingga 29 Ogos, manakala adik perempuannya berusia 30-an direman selama satu hari selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Sibu, pada Isnin.

Menurut sumber, dua beradik terbabit turut ditahan bersama dua lagi lelaki serta seorang wanita dalam Op Liter yang dijalankan Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah depoh simpanan minyak diesel.

Dua beradik direman SPRM di Mahkamah Majistret Sibu, pada Isnin.
Dua beradik direman SPRM di Mahkamah Majistret Sibu, pada Isnin.

"Kelima-lima suspek ini dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.

"Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sumber berkata, suspek disyaki turut membayar wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan bagi mengelak dikenakan tindakan kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah.

Tambah sumber, menerusi operasi itu, SPRM telah menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta susulan tangkapan kelima-lima suspek berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan lima suspek terbabit.

Bagaimanapun, tiga suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!