Komponen kren patah hempap kenderaan di medan selera

Salah satu jentera pengangkat berantai telah mengalami kegagalan mekanikal yang menyebabkan komponen hujung boom kren tersebut patah.
Salah satu jentera pengangkat berantai telah mengalami kegagalan mekanikal yang menyebabkan komponen hujung boom kren tersebut patah.
A
A
A

GEORGE TOWN - Dua buah kereta yang diletakkan di kawasan parkir Medan Selera Paya Terubong mengalami kerosakan kecil akibat terkena komponen kren yang patah ketika proses mengangkat sebatang rasuk.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada jam 10 malam, Jumaat lalu itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Penang Infrastructure Corporation (PIC) dalam kenyataannya berkata, kejadian itu berlaku di tapak kawasan pengacuan konkrit (casting yard) dekat Jalan Paya Terubong.

"Kejadian itu menyebabkan sebahagian komponen tersebut jatuh ke kawasan parkir kereta medan selera di lot bersebelahan dan terkena dua buah kereta di situ. Namun, ia hanya melibatkan kerosakan kecil sahaja.

"Susulan itu, pihak subkontraktor telah mengambil tindakan drastik dengan membuat pengepungan penuh kawasan tersebut bagi tujuan keselamatan. Pemilik kenderaan tersebut juga telah ditemui dan bersetuju untuk dibayar pampasan atas kerosakan," katanya pada Isnin.

Mengulas lanjut, PIC berkata, kejadian itu berlaku ketika proses mengangkat rasuk yang ketiga untuk Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam di Lebuhraya Thean Teik.

Salah sebuah kereta yang diletakkan di parkir medan selera mengalami kerosakan kecil akibat daripada kejadian tersebut.
Salah sebuah kereta yang diletakkan di parkir medan selera mengalami kerosakan kecil akibat daripada kejadian tersebut.

Menurut PIC, ketika proses mengangkat dan memuatnaik tiga segmen rasuk, kren yang digunakan mengalami kegagalan mekanikal lalu patah.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kontraktor telah dijadualkan untuk mengangkat rasuk bagi baki tiga segmen rasuk di Lebuhraya Thean Teik pada malam tersebut. Dua daripada tiga struktur rasuk tersebut telah berjaya diangkat dan dimuatkan ke atas treler.

"Bagaimanapun,ketika proses mengangkat rasuk yang ketiga, salah satu jentera pengangkat berantai telah mengalami kegagalan mekanikal yang menyebabkan komponen hujung boom kren tersebut patah," katanya.

PIC berkata, insiden ini juga telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (DOSH) pada jam 10.35 malam, hari kejadian.

"Bagi mengelakkan kejadian ini berulang, langkah mitigasi dan keselamatan bagi kerja-kerja pelancaran telah diperkemaskan serta-merta antaranya meningkatkan kekerapan pemeriksaan iaitu pemeriksaan bulanan kepada mingguan berpandukan Senarai Semak Jentera Kren.

"Sebelum sebarang aktiviti pelancaran, perimeter bersebelahan yang melibatkan orang ramai akan ditutup daripada sebarang aktiviti," katanya.

Untuk rekod, sehingga kini sejumlah 35 bilangan rasuk telah berjaya dilancarkan bagi struktur jejambat merentasi Lebuhraya Thean Teik sejak awal tahun 2023.

Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak tahun 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.

Setelah siap kelak, jalan raya bebas tol sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Bandar Baru Ayer Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ini akan memendekkan waktu perjalanan daripada 40 minit ke sekitar 5 minit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!