Sindiket 'kaunter khas' KLIA: Wanita Myanmar suspek terbaru diberkas
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi warga Myanmar disyaki terlibat dalam sindiket bawa masuk warga asing di lapangan terbang, di sini.
Suspek wanita berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira jam 12.15 tengah malam, Isnin di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.
Suspek kini direman empat hari sehingga 29 Ogos selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, SPRM turut menyita satu unit telefon bimbit.
"Reman terhadap suspek ini susulan penahanan 11 individu termasuk empat penguat kuasa yang berkhidmat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada Rabu lalu menerusi Op Pump yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.
“Kesemua yang ditahan dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan yang sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang individu warganegara Myanmar selama lima hari sehingga 29 Ogos.
Suspek sebelum ini telah direman selama lima hari bermula 21 Ogos lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Laporan khas Sinar Harian pada Khamis lepas melaporkan pegawai yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan KLIA dipercayai menerima habuan RM500 hingga RM2,500 daripada sindiket untuk melepasi pemeriksaan melalui 'kaunter khas'.
Bayaran rasuah yang dibayar itu adalah berbeza mengikut kewarganegaraan.
Bayaran rasuah paling rendah sekitar RM500 bagi warga Uzbekistan dan paling tinggi RM2,500 bagi warga Bangladesh.
Bagi mengelakkan komunikasi mereka dikesan, penguat kuasa dan sindiket berkenaan turut menggunakan beberapa kod nama khas seperti School boy, Salak, Limau, Laici, Karpet, Kicap, Roti canai, Junta dan Ayam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!