'Menggigil dengar tangisan kanak-kanak, jeritan minta tolong'

Tular video memaparkan kereta jenis Proton Iriz yang dinaiki enam sekeluarga telah terbabas ke dalam parit yang dipenuhi air.
Tular video memaparkan kereta jenis Proton Iriz yang dinaiki enam sekeluarga telah terbabas ke dalam parit yang dipenuhi air.
A
A
A

BAGAN SERAI - Tindakan berani dua lelaki berjaya menyelamatkan enam sekeluarga daripada lemas selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam parit di Kilometer 15, Jalan Selama-Bagan Serai, Sabtu lalu.

Kejadian sekitar jam 3.45 petang itu disaksikan oleh kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Kamal Ramli, 36, yang turut membantu mangsa kemalangan.

Menurutnya, dia yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu, Terengganu melihat kereta mangsa yang berada di hadapannya telah terlanggar tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam parit.

"Menggigil melihat kejadian berlaku depan mata, tambahan dengar tangisan kanak-kanak dan jeritan kuat minta tolong dari tempat duduk belakang sambil menggapai tangan.

"Saya yang panik terus meminta bantuan pengguna jalan lain sampailah dua lelaki bermotosikal berhenti dan tanpa fikir panjang terus terjun mendapatkan tiga kanak-kanak yang masih kecil untuk dibawa ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Terdahulu, tular video berdurasi 35 saat di media sosial memaparkan kereta jenis Proton Iriz berwarna hitam telah terbabas ke dalam parit yang dipenuhi air.

Menerusi video itu, seorang kanak-kanak lelaki yang berada di bahagian penumpang belakang meraih bahu lelaki yang berenang ke arahnya dan terdapat seorang lagi kanak-kanak didukung oleh remaja perempuan berusia 13 tahun.

Dalam pada itu, seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan turut menghulurkan kanak-kanak dipegangnya kepada seorang lelaki lain untuk diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Kamal, dia bersyukur kesemua mangsa berjaya diselamatkan sebelum kereta terbabit tenggelam.

"Saya sendiri pun menggigil hendak turun berikutan trauma kerana mempunyai pengalaman hampir lemas ketika kanak-kanak dahulu.

"Niat saya merakam kejadian itu adalah untuk hargai keberanian abang tersebut dan beberapa individu lain yang sanggup terjun membantu mangsa kemalangan itu walaupun air ketika itu sangat dalam," katanya.

Dia juga terkejut video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya dibanjiri dengan pujian daripada warganet yang mengagumi tindakan pantas orang awam membantu menyelamatkan mangsa kemalangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!