Hellooo! simbolik Dafi keluar 'pertapaan'

Hellooo! mempunyai signikfikasi tersendiri buat Dafi.
Hellooo! mempunyai signikfikasi tersendiri buat Dafi.
A
A
A

SELEPAS sekian lama hilang dari radar industri seni, penyanyi Dafi menjadikan bulan Ogos sebagai permulaan yang tepat untuk keluar daripada 'pertapaan'.

Hadir bersama single terbaharu berjudul Hellooo!, pemilik nama penuh Gadaffi Ismail Sabri itu memilih frasa sapaan sebagai mukadimah untuk menyapa satu sama lain.

Hellooo! mempunyai signifikasi terhadap karya garapan komposer Shazee Ishak dan lirik oleh Altimet, apatah lagi lagu ini sudah beberapa tahun dalam simpanan.

“Sudah lama sebenarnya saya tidak tampil dengan single baru, sehinggakan ada yang lupa saya sebenarnya penyanyi. Ini kerana saya lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan.

“Memandangkan karya ini sudah lama berada dalam simpanan dan sudah dirakamkan, ini adalah masa terbaik untuk dilancarkan khas untuk halwa telinga semua pihak.

“Beberapa tahun tertangguh, tidak dinafikan ada rasa ralat dalam diri kerana semuanya sudah disiapkan cuma ada hal teknikal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan ia disimpan dahulu,” katanya.

Dafi
Dafi

Jejaka berusia 36 tahun ini turut menjelaskan hala tuju muziknya kini sudah berubah apabila mempamerkan sisi kematangan terutama dalam menyebarkan aura positif.

Artikel Berkaitan:

Semakin dewasa dalam bermuzik, Dagi ingin menyajikan kelainan sewaktu menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat muda, persahabatan dan juga aura positif.

“Saya dikenali menerusi lagu Bila Terasa Rindu, namun saya ingin bereksperimentasi dengan muzik sejajar dengan peningkatan usia, sekali gus memberi impak positif kepada kerjaya.

“Single ini begitu istimewa kerana dihasilkan dua figura yang juga merupakan idola saya dalam industri. Karya yang mereka hasilkan sering mencetuskan magis, jadi pertama kali mendengar Hellooo!, saya sudah jatuh cinta,” jelasnya.

Berkongsi lanjut mengenai single terbaharunya itu, Dafi menyifatkan Hellooo! menjadi simbolik kepada kekuatan dirinya yang tidak pernah berputus asa dalam hidup.

Pernah mencipta nama menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kelima, anak kedua daripada empat bersaudara itu tidak melihat percubaannya dalam bidang seni sebagai pematah semangat sebaliknya meneruskan langkah untuk berjuang.

“Hellooo! merupakan suara hati saya. Selepas lebih sedekad bergiat aktif dalam bidang ini, saya lebih matang dan berpendirian.

“Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan namun saya masih bersemangat dan tidak berputus asa dalam bidang seni,” ujarnya.

Selain menghadiahkan peminat dengan buah tangan terbaru, Dafi juga berharap dapat menarik peminat dari kalangan generasi muda untuk mengenali dirinya.

Hellooo! boleh didengari menerusi platform penstriman seperti Apple Music, Spotify, Joox, Youtube Music, Tik Tok, Amazon Music, Tidal dan Deezer bermula 16 Ogos lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!