UMNO, GRS disaran bekerjasama hadapi PRN17 Sabah

Zulkarnain
Zulkarnain
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disaran bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, umum mengetahui di peringkat Persekutuan UMNO dan GRS bersama-sama membentuk kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Sudah tentu kerjasama di peringkat negeri tidak akan menimbulkan masalah, malah kedua-dua parti ini pernah bersama-sama mengharungi PRN16.

"Walaupun beberapa orang wakil rakyat UMNO menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika ini namun harus diingat dalam masa yang sama barisan kabinet negeri Sabah UMNO mempunyai wakil di dalamnya malah Timbalan Ketua Menteri datangnya dari UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau sebagai seorang bekas aktivitis akar umbi UMNO berkata, masa depan rakyat sepatutnya diutamakan oleh kepimpinan UMNO Sabah.

"Belakangkan sejarah lalu dan mengorak langkah ke hadapan demi rakyat dan negeri Sabah.

"Saya juga difahamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan pandangan agar UMNO melalui Barisan Nasional (BN) bersama-sama GRS dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasamasa menghadapi PRN17 malah perbincangan di peringkat tertinggi juga dikatakan telah bermula.

"Ini adalah platform yang terbaik untuk Sabah sambil berharap selepas PRN17 masalah utama rakyat Sabah seperti jalan berlubang, air, elektrik termasuk tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan secara tuntas oleh ketiga pimpinan gabungan parti tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!