Puspakom diberi kuasa jalankan perkhidmatan periksa kenderaan di bawah mekanisme baharu

Anthony (tiga dari kiri) menyerahkan lesen kuasa kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman (dua dari kiri).
Anthony (tiga dari kiri) menyerahkan lesen kuasa kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman (dua dari kiri).
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menjadi syarikat pertama yang diberi kuasa untuk menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor di bawah mekanisme baharu Akta 333.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, melalui pemberian kuasa di bawah Seksyen 126 (1) Akta 333, Puspakom boleh menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang ditetapkan di pusat pemeriksaan dan perkhidmatan pemeriksaan bergerak di seluruh negara.

Anthony ketika sidang media di Putrajaya pada Isnin.
Anthony ketika sidang media di Putrajaya pada Isnin.

"(Sekarang) Puspakom akan terus beroperasi tetapi mereka perlu bersaing dengan pemain industri yang lain, apa sahaja mereka laksanakan sebelum ini boleh diteruskan seperti biasa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada tahun lepas, Loke mengumumkan Puspakom tidak akan lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Sept 2024.

Beliau berkata, ia berikutan keputusan mesyuarat Kabinet pada 17 Mac 2023 agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.

Anthony berkata, setakat ini sambutan dari industri untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang ditetapkan di bawah Akta 333 adalah positif dan tarikh tutup permohonan ialah pada 31 Oktober ini.

Beliau berkata hampir 50 syarikat menyatakan minat manakala dua syarikat telah mengemukakan permohonan secara rasmi bagi mendapatkan lesen sebagai penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor.

"Jadi mana-mana syarikat yang masuk dahulu, kita akan buat penilaian dahulu. Maknanya, sesiapa yang lebih awal buat permohonan, mereka akan dapat lesen lebih awal," katanya.

Ditanya sama ada terdapat syarat ketat, beliau berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi adalah keupayaan dari segi tempat yang sesuai, keupayaan teknikal serta pelaburan dalam mesin dan peralatan.
Artikel Berkaitan:


"Kementerian Pengangkutan akan menilai semua permohonan dan mengumumkan pemain-pemain baharu yang berjaya dalam masa terdekat.

"JPJ akan terus mengawalselia dan memantau penyediaan perkhidmatan serta pengoperasian pemeriksaan kenderaan motor supaya teratur, mematuhi standard serta peraturan telah ditetapkan dan supaya perkhidmatan berkualiti disediakan kepada pelanggan," katanya.

Garis panduan permohonan pemberian kuasa atau lesen bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor boleh diperolehi daripada laman web Kementerian Pengangkutan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!