Perak tak tolak kemungkinan aktiviti pertanian punca kepala air

Keadaan Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh akibat kejadian kepala air. Foto Bernama
Keadaan Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh akibat kejadian kepala air. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak menolak kemungkinan kejadian kepala air yang berlaku di Slim River Jumaat lalu berpunca daripada aktiviti pertanian di kawasan sekitar lokasi tragedi tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perhutanan, tiada aktiviti pembalakan kelolaan jabatan itu dilakukan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, walaupun terdapat sisa kayu yang dihanyutkan itu bukan pembalakan baharu.

"Kita pun tidak boleh hendak menafikan jika terdapat orang yang membersihkan hutan untuk tujuan pertanian dibuat oleh mereka sendiri.

"Jadi ada sebahagiannya dulu setelah dia tebang, dia bakar tapi kita juga tak membenarkan mereka membuat pembakaran terbuka biar reput begitu, jadi kayu itu hanyutlah," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini pada Isnin.

Sementara itu, Saarani berkata, sebarang pembangunan sesuatu kawasan tanah termasuk untuk tujuan pertanian memerlukan Kebenaran Merancang (KM) seperti ditetapkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Menurutnya, KM itu merupakan syarat wajib untuk bukan sahaja pembinaan di sesuatu kawasan tetapi turut terpakai bagi tujuan pertanian seperti pembukaan ladang.

Saarani (dua dari kiri) menyampaikan sijil diploma kepada Muhammad Hafizuddin Mohd Yamin, 23, ketika Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar ke-52 pada Isnin.
Saarani (dua dari kiri) menyampaikan sijil diploma kepada Muhammad Hafizuddin Mohd Yamin, 23, ketika Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar ke-52 pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sepatutnya dia kena mematuhi syarat itu. Dia juga kena hantar KM kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa untuk kelulusan. Jika tak buat bermakna dia gagal patuhi peraturan.

"Begitu juga kajian EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar), sepatutnya dibuat. Kalau dia gagal, dia kena denda atas kesalahan itu. Apa lagi kalau menjadi penyebab kepada banjir," katanya.

Justeru, beliau meminta agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan segera terhadap kawasan pertanian berhampiran termasuk ladang durian di situ.

Menurutnya, perbincangan lanjut akan dibuat di dalam mesyuarat Exco berkaitan siasatan tersebut bagi melihat kesan sebagai iktibar kepada seluruh negeri dan bukan hanya di kawasan Slim River.

Kejadian kepala air yang berlaku pada Jumaat lalu mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu jambatan struktur konkrit di jalan negeri manakala dua lagi merupakan jambatan kampung di Kampung Pasir dan Kampung Sungai Muda yang menghubungkan Kampung Piong.

Jambatan konkrit di Jambatan Lama Sungai Slim yang mempunyai lebar 7.5 meter dan panjang 77 meter runtuh selepas tidak dapat menahan tekanan daripada sisa kayu yang hanyut bersama aliran air deras.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!