Hargai peranan Malaysia bantu proses damai di selatan Thailand
KOMITMEN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi perhatian dalam beberapa isu penting berkaitan Selatan Thailand memberi satu harapan besar kepada penduduk wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat.
Pertamanya Anwar mengulangi komitmen beliau untuk menyegerakan proses dialog damai di selatan Thailand melalui fasilitator yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada perdamaian di wilayah bergolak.
Dalam lawatan ke Rantau Panjang dan Sungai Golok, Narathiwat pada awal Ogos lalu, Anwar juga telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk mempercepatkan pelaksanaan jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang.
Ia juga akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Thailand, melancarkan pergerakan penduduk dan melicinkan perdagangan serta meningkatkan ekonomi setempat.
Malaysia dan Thailand juga memutuskan untuk mempercepatkan pembangunan dan pembersihan muara Sungai Golok yang akan membantu menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan.
Kedua-dua negara turut merancang untuk mengadakan perbincangan berhubung zon ekonomi khas yang memfokuskan kepada industri makanan halal dan perladangan getah.
Menyedari akan niat ikhlas dan kesungguhan ditunjukkan Anwar, wakil institusi guru-guru pondok Selatan Thailand telah menzahirkan penghargaan dan berharap komitmen tersebut akan diperkukuhkan sehingga wilayah berkenaan bebas daripada sebarang ancaman.
Mereka merancang untuk bertemu dengan Anwar dalam perjumpaan yang akan datang di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu-isu berkaitan masa depan umat Islam kerana percaya dengan ketokohan yang dimiliki Perdana Menteri Malaysia itu.
Mereka turut berharap usaha proses damai dapat dilipatgandakan kerana pergolakan di wilayah berkenaan telah memberikan kesan buruk kepada umat Islam di sana.
Kata mereka, ajaran Islam tidak mengajak kepada kezaliman dan kekerasan, tetapi ada pihak yang telah menggunakan agama untuk melakukan menghalalkan perbuatan seperti pengeboman orang awam yang tidak bersalah.
Guru-guru pondok juga berharap supaya belia-belia di wilayah berkenaan diberikan peluang untuk menimba ilmu dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan vokasional (TVET) di Malaysia yang kini telah menunjukkan kemajuan yang membanggakan.
Oleh itu, kesungguhan Malaysia dan Kerajaan Thailand dan rakyat yang cintakan keamanan di wilayah berkenaan seharusnya disokong kerana jika tidak sampai bila-bila penduduk di kawasan bergolak akan terus mundur dan hidup dalam kucar-kacir.
Puak-puak pemisah perlu membuang sikap penting diri mereka dan berlapang dada ke meja rundingan untuk merealisasikan impian banyak pihak yang amat mahukan keamanan di Selatan Thailand.
Tuntutan yang dibuat menggunakan medium kekerasan tidak akan mampu mencapai penyelesaian, bahkan akan mengorbankan lebih banyak nyawa yang tidak berdosa.
Di samping itu, kestabilan dan keamanan di tiga wilayah itu adalah cukup penting untuk memastikan projek pembangunan yang dirancang dapat disiapkan dalam masa ditetapkan.
Semua itu adalah demi kebaikan bersama dan kemudahannya juga akan dinikmati oleh rakyat kedua-dua negara.
Tanyalah kepada sesiapa pun sama ada di wilayah Selatan Thailand mahu pun di sebelah Malaysia, tiada siapa yang mahukan kacau bilau kerana semua itu banyak mengundang masalah yang tiada kesudahan.
Semua mahukan keharmonian bagi membolehkan ruang mencukupi untuk merancang masa depan yang lebih baik bagi anak-anak umat Islam di wilayah berkenaan khasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!