Kedah kecewa wujud politik kepartian dalam sektor pendidikan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan dan kerajaan Persekutuan diminta memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri menganjurkan program pendidikan untuk manfaat pelajar di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sektor pendidikan sewajarnya bebas daripada elemen dan propaganda politik kepartian.

Bagaimanapun dakwanya, kepimpinan negeri ini dihalang daripada memasuki kawasan sekolah mahupun menjalin kerjasama dalam program berkaitan pendidikan.

“Kita sama sekali tidak terdetik untuk berpolitik dalam sektor pendidikan, kita mahu semua pelajar dapat apa yang sepatutnya.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan dan Pengarah Pendidikan Kedah yang laksanakan agenda politik kepartian,” katanya pada ucapan penggulungan persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman pada Isnin.

Beliau merujuk kepada jawapan lisan Exco Pendidikan negeri, Datuk Mohd Azam Abd Samat yang memaklumkan, Program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPas) dianjurkan kerajaan negeri tidak mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan tidak membenarkan guru dan pengetua menyertainya.

Sanusi berkata, sikap seumpama itu tidak sewajarnya berlaku kerana kerajaan negeri hanya ingin membantu melonjakkan prestasi sektor pendidikan.

“Saya harap pembentangan KOMPas yang akan dibuat oleh pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) akan melibatkan penyertaan guru-guru dan sekolah-sekolah serta dibenarkan oleh Kementerian Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

“Jangan buat larangan, jangan buat arahan lisan, jangan buat panggilan telefon untuk melarang perkara ini. Marilah kita bekerjasama untuk kebaikan negeri ini,” ujarnya.

Sanusi turut melahirkan rasa kecewa apabila terdapat pegawai kerajaan yang menggunakan kedudukan untuk agenda politik.

“Kalau pegawai kerajaan nak main politik, letak jawatan bertanding jadi wakil rakyat, kita berbahas di Dewan ini sebagai ahli politik. Jangan guna kuasa di jabatan atau kementerian, keluarkan arahan politik. Jangan, itu akan menghancurkan negara ini.

“Diharap sikap demokrasi dan terbuka kita disambut oleh pihak sebelah sana dengan sikap yang sama,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil perhatian berkaitan perkara ini.

“Jangan ambil sikap anti kepada parti lain sehingga menjalankan agenda parti kepartian di sekolah.

“Kita memegang amanah orang ramai. Bukan kaut keuntungan daripada sikap menindas dan ketidakadilan. Benda yang tak betul kena kata tak betul walaupun rakan kita,” katanya.

Sanusi turut berkongsi pengalaman apabila berdepan situasi sama membabitkan sektor pendidikan.

“Saya pernah dijemput oleh alumni sebuah sekolah untuk kutip derma. Dikeluarkan arahan semua guru dan kakitangan sekolah tak boleh hadir kerana Sanusi ada. Buat di luar sekolah, nak kutip derma tolong mereka, tapi tak bagi guru hadir. Sikap seperti itu tak betul.

“Saya pun ramai kawan dari parti lain. Saya hormat semua atas perbezaan parti politik. Kita bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang, selepas itu punya pasal nak pi mana,” katanya.

Sanusi memaklumkan, KOMPas diwujudkan bagi membantu sektor pendidikan mengatasi keciciran pelajar melalui peruntukan khas Menteri Besar pada 2021 sebanyak RM100,000 setiap tahun.

“Kajian dilakukan pensyarah dari UUM merangkumi langkah-langkah mengatasi dan mengesan pelajar tercicir dari sistem pendidikan sekolah.

“Kita mahu menuju The Greater Kedah, jadi kena kesan awal masalah akan datang dan kesan itu perlu diatasi lebih awal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!