Prasarana sahkan sistem dalaman diserang penggodam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan sistem dalamannya diserang penggodam seperti yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, Prasarana berkata, pasukan keselamatan sibernya sedang menangani insiden tersebut yang membabitkan akses tanpa kebenaran ke beberapa sistem mereka.

"Kami sedang mengurus dan menangani situasi ini. Kami juga sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan siber untuk menyiasat serta mengambil langkah mitigasi.

"Keutamaan kami adalah pada keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam. Kami ingin mengesahkan bahawa insiden ini tidak memberi gangguan terhadap operasi harian kami," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, pemantau ancaman siber Falcon Feeds mendedahkan perisian RansomHub telah digunakan dalam serangan yang berpotensi menjejaskan 316GB data Prasarana daripada laman sesawang prasarana.com.my.

Prasarana menerusi kenyataan sama memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia untuk memastikan semua langkah telah diambil.

"Usaha kerjasama ini bertujuan untuk memberikan respons yang menyeluruh dan melindungi sistem kami. Kami akan terus memberikan kemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Tambah agensi itu, tumpuan pihaknya kekal kepada penyelesaian masalah dengan segera di samping memastikan perkhidmatannya terus memenuhi keperluan orang awam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!