Selangor mahu semua PBT seragam peraturan ubah suai rumah

Kerajaan Selangor merancang mengeluarkan buku panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kerja-kerja pengubahsuaian rumah taman di negeri ini.
Kerajaan Selangor merancang mengeluarkan buku panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kerja-kerja pengubahsuaian rumah taman di negeri ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor merancang mengeluarkan buku panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kerja-kerja pengubahsuaian rumah taman di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, pada masa ini, tiada penyelarasan di semua PBT berhubung permohonan pemilik rumah taman yang ingin melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian.

"Kita kenal pasti ada PBT membenarkan pengubahsuaian rumah dua atau tiga tingkat, manakala sebahagian PBT lagi tidak membenarkannya.

"Kita melihat (pengubahsuaian rumah) di sesebuah taman perumahan tidak seragam seolah-olah kawasan itu ada tinggi (dua atau tiga tingkat), dan (rumah) rendah (setingkat), jadi ia tidak seragam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan memberitahu, perkara itu dalam perhatian kerajaan Selangor bagi memastikan semua peraturan mengenai pengubahsuaian rumah taman diselaraskan di setiap PBT.

Beliau memberitahu, pada peringkat permulaan, satu jawatankuasa induk dianggotai empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan bermesyuarat bagi membincangkan perkara itu.

Jelas beliau, jawatankuasa yang dipengerusikan beliau itu juga akan mengadakan pertemuan dengan pembayar cukai taksiran dan wakil persatuan perumahan.

"Kita akan berbincang untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka supaya ada libat urus bagi mengetahui ketidakselarasan yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Ini penting bagi kita menambahbaik supaya pada masa akan datang kita ada satu garis panduan yang selaras merangkumi semua PBT di negeri ini," ujar beliau.

Beliau memberitahu, rata-rata pemilik kediaman memohon kepada PBT sekiranya ingin membuat pengubahsuaian rumah masing-masing.

"Mereka juga dikenakan tambahan bayaran cukai taksiran, namun perkara ini akan dilihat secara menyeluruh dan lebih seragam supaya ada ketetapan dibuat mengenainya," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!