Kos LTdL 2024 lebih besar

Abdul Rashid (kanan) dan Saidi melihat laluan lapan peringkat LTdL 2024 di Bukit Jalil pada Isnin.
Abdul Rashid (kanan) dan Saidi melihat laluan lapan peringkat LTdL 2024 di Bukit Jalil pada Isnin.
A
A
A

PENGANJURAN Le Tour de Langkawai (LTdL) 2024 yang memasuki edisi ke-28 bermula akhir bulan ini dijangka melibatkan kos lebih RM15 juta apabila ia akan turut melibatkan lokasi perlumbaan di Semenanjung dan Sarawak.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub bagaimanapun berkata, kos tersebut mungkin lebih besar kerana ia akan melibatkan perbelanjaan logistik di seberang laut iaitu Langkawi, Miri dan Bintulu, Sarawak.

"Saya tidak boleh beritahu angka sebenar, tetapi agak tinggi. Lebih jauh daripada RM15 juta. Kita ada bajet kita, tetapi angka ini boleh berubah dari semasa ke semasa.

"Kalau RM15 juta mungkin kita boleh buat empat atau lima peringkat sahaja dan mungkin di Semenanjung sahaja. Jangan darab dulu, matematiknya bukan begitu (sekali ganda).

"Jadi kalau pergi ke Sarawak, kita akan menyemberangi laut, begitu juga Langkawi. Bajet tertumpu kepada kos logistik yang agak tinggi kerana kali ini kita akan pergi lebih jauh. Jadi bajet pun akan lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Isnin.

Tourism Malaysia diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Saidi Bundan.

Sebagai rekod penganjuran LTdL 2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM8 juta, manakala pada edisi sebelumnya menelan kos sekitar RM14 hingga RM17 juta.

Artikel Berkaitan:

Perlumbaan LTdL 2020 pula melibatkan kos RM20 juta selepas ia merentasi Sabah serta Sarawak dan berakhir di Langkawi.

Abdul Rashid menjelaskan tidak boleh mengumumkan jumlah tajaan kerana perbincangan dengan penaja masih berlangsung memandangkan perlumbaan tersebut masih berbaki kira-kira sebulan.

"Jadi tidak molek rasanya saya sebut sekarang angka tersebut. Jadi saya tak bercadang untuk sebut kerana kita ada lebih kurang sebulan lagi. Sebab akan ada beberapa penaja lagi yang nak masuk," katanya.

Menurut beliau, penajaan yang dibuat rakan strategik MSN bagi menganjurkan LTdL sejak tahun lepas memberi pulangan sangat baik buat sektor korporat dan syarikat penaja.

"Kos itu berbaloi buat penaja dan MSN serta penonton Malaysia. Saya rasa sebab itu Tourism Malaysia masih bersama kita untuk menaja dengan bajet RM1 juta.

"Pelaburan seumpama ini bertaraf antarabangsa dan akan diuar-uarkan ke seluruh dunia. Ia tidak datang segera selepas kejohanan, tetapi ambil masa beberapa bulan," katanya.

LTdL dijadual bermula 29 September hingga 6 Oktober ini melibatkan lapan peringkat sejauh 1,190 kilometer (km).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!