Perak laksana pemetaan utiliti, elak kejadian tanah jerlus

Saarani ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini pada Isnin.
Saarani ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) akan diberi tanggungjawab melaksanakan pemetaan utiliti di Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemetaan utiliti itu penting bagi mengenal pasti situasi di bawah tanah jika berlaku kejadian tidak diingini seperti tanah jerlus.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai rekod jelas berkaitan kemudahan utiliti yang dilaksanakan.

"Tentulah kita mengambil iktibar apa yang berlaku di Kuala Lumpur sebab kita sebenarnya tidak tahu apa yang telah berlaku sebelum ini. Macam kes yang berlaku di situ (Masjid India) hanya orang lama tahu barang kali apa yang dibina di bawah tanah itu.

"Tapi di Perak kita dah ada KUDR untuk pembangunan baharu melibatkan pemetaan bawah tanah untuk tahu kabel utiliti termasuk juga tanah jerlus. Itu tujuannya KUDR itu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini pada Isnin.

Pada Sabtu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyarankan agar agensi terlibat serta syarikat utiliti bekerjasama dalam membuat pemetaan utiliti bawah tanah, bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku terutama ketika pembangunan sesuatu projek.

Pemetaan utiliti itu penting, bagi melihat keadaan di bawah tanah dengan kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik, yang ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi melaksanakan cadangan pemetaan utiliti bawah tanah bagi menangani isu tanah jerlus.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pemetaan utiliti bawah tanah dilihat satu keperluan bagi memastikan kemudahan tidak menjejaskan keselamatan.

Media pada 23 Ogos lalu, melaporkan seorang wanita warga India berusia 48 tahun terjatuh ke dalam kejadian lubang tanah jerlus berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!