Konflik harimau kumbang: 17 tangkapan sejak 2023
SEREMBAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merekodkan 17 tangkapan harimau kumbang setakat ini di Negeri Sembilan.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 14 tangkapan dilakukan pada tahun lalu dan bakinya adalah tahun ini termasuk tangkapan terbaharu pada Sabtu lalu di Kampung Padang Lebar, Mukim Mayun, Chengkau Ulu, Rembau.
Menurutnya, harimau kumbang tersebut telah dibawa ke Pejabat Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.
"Tangkapan tersebut sedikit sebanyak melegakan pekebun dan penternak kambing di sekitar kawasan berkenaan.
"Bagaimanapun, tangkapan dan pemindahan harimau kumbang tersebut bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan ini adalah berhampiran dengan Hutan Simpan Gunung Tampin," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, beliau berkata, penduduk khususnya penternak haiwan dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan konflik melibatkan harimau kumbang.
"Langkah berkenaan antaranya sentiasa membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak dan tidak membiarkan kandang haiwan ternakan terbuka dengan mengukuhkan struktur kandang.
"Penternak juga disarankan untuk menerangkan kandang di waktu malam serta tidak melepaskan ternakan pada waktu malam.
"Orang ramai juga diingatkan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar, jangan mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri," katanya.
Ujarnya, sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua anjing yang menjaga sebuah kebun di Chengkau Ulu, Rembau mati disyaki dibaham harimau dengan keadaan kepala dan sebahagian badannya hancur.
Perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada Perhilitan sebelum dua anggota daripada Pejabat Perhilitan Daerah Seremban dan seorang anggota Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Negeri Sembilan menjalankan pemantauan di lokasi aduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!