Tanah mendap: Gerakan cadang kerajaan tubuh pasukan khas

Dominic Lau Hoe Chai
Dominic Lau Hoe Chai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan kerajaan menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau keselamatan geologi di Kuala Lumpur dan kawasan berisiko.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, penubuhan pasukan berkenaan dapat mengenal pasti lokasi-lokasi berpotensi berlakunya kejadian tanah mendap seterusnya mengambil tindakan susulan berdasarkan cadangan pakar.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mengadakan mesyuarat berkala dengan semua agensi memiliki kemudahan awam bawah tanah untuk mencari jalan menyelesaikan kejadian tanah runtuh dan tanah mendap yang kerap berlaku di Kuala Lumpur kebelakangan ini.

"Kejadian tanah mendap di Jalan Masjid India mungkin bukan sepenuhnya disebabkan oleh masalah geologi, tetapi memandangkan kejadian telah berlaku dan melibatkan pelancong asing, kerajaan perlu memberikan perhatian yang serius.

"Kejadian tanah mendap di Ampang pada tahun 2022 telah disahkan berpunca daripada faktor manusia, tetapi kejadian ini sudah memberikan amaran keselamatan yang perlu diambil perhatian untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau meluahkan rasa kesal terhadap insiden yang mengakibatkan seorang pelancong wanita hilang itu dan berharap agar keluarga mangsa tabah dalam menghadapi situasi tersebut.

"Dengan berlakunya kejadian ini, orang awam mula merasa bimbang tentang keselamatan geologi dan pihak berkuasa perlu segera melakukan pemeriksaan secara menyeluruh," ujarnya.

Ujarnya lagi, berdasarkan laporan kajian pada tahun 2017 bertajuk "Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Analisis Proses Hierarki (AHP) untuk Mengenalpasti Kawasan Berisiko Tinggi Tanah Mendap: Kajian Kes di Kuala Lumpur dan Ampang Jaya", kawasan Kepong, Kampung Baru, Ampang, dan Pandan Jaya telah disenaraikan sebagai kawasan berisiko sangat tinggi untuk berlakunya kejadian tanah mendap.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Ipoh dan Kuala Lumpur mempunyai geologi batu kapur di bawah tanah dan jika berlaku hujan lebat terdapat risiko berlakunya tanah mendap pada bila-bila masa.

Menurutnya, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dilapor mengatakan bahawa terdapat beberapa puluh hotspot di Ipoh, dan Majlis Bandaraya sedang mengenal pasti hotspot lain.

"Kerajaan mungkin perlu mempercepatkan dan memendekkan tempoh pemeriksaan geologi di kawasan-kawasan ini, terutamanya kerana geologi Kuala Lumpur yang lebih lembut, di mana berat kenderaan yang melalui jalan berturap setiap hari boleh menyebar ke batu-bata, ditambah pula dengan saluran air bawah tanah, yang boleh menjadi punca batu-bata tersebut pecah," ujarnya.

Sehubungan itu, Dominic menekankan bahawa kejadian yang berlaku melibatkan banyak faktor dan kemungkinan manakala agensi serta pihak berkaitan perlu menyemak pelan pembangunan masa hadapan untuk mengurangkan kadar kejadian luar biasa ini ke tahap paling minimum.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!