Tun M tidak pertikai ucapan Ahmad Zahid kecuali isu Kutty

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bahawa beliau tidak mempertikaikan ucapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada tujuh tahun lalu, kecuali ia menyentuh namanya yang dirujuk sebagai 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty'.

Bekas Perdana Menteri yang menyambut hari lahir ke-99 pada bulan lalu, berkata demikian ketika prosiding kes samannya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid, 71 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Gan Techiong.

Menjawab soalan peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sudah menjadi hak mana-mana pihak untuk menulis apa sahaja, namun yang dipersoalkan ialah kenyataan merujuknya dengan nama lain.

Mohamed Shahrul: Adakah Tun (Mahathir) tahu bahawa, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid selaku defendan ada memberitahu perkara lain dalam mesyuarat itu?

Mahathir: Saya tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan, namun isu yang saya ketengahkan ialah, perkataan-perkataan yang disebut oleh defendan, malah ia didengar orang termasuk di seluruh dunia.

Mohamed Shahrul: Jadi, boleh sahkan, Tun sebenarnya tidak tahu tujuan agenda majlis itu diadakan?

Mahathir: Tujuannya untuk memburuk-burukkan nama saya supaya tidak diterima orang ramai dan ahli UMNO.

Selain itu dalam pernyataan saksi, beliau berkata, kenyataan palsu defendan juga membawa maksud bahawa beliau, semasa menjadi Perdana Menteri telah menggunakan orang Melayu untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia turut menggambarkan beliau memperkecilkan rakyat Malaysia yang berketurunan India Muslim yang mana, beliau merasa malu dan terhina dengan keturunan nenek moyang yang mempunyai pertalian darah dari negara India.

“Secara tersiratnya, ia juga membawa maksud bahawa kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhannya, diragui.

“Defendan juga menunjukkan saya seolah-olah tidak beretika semasa memegang jawatan atau tidak layak untuk menjadi pemimpin masyarakat,” katanya.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Mohamed Shahrul berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk mendapat maklumat mengenai nama ‘Kutty’ itu daripada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Defendan kata, telah menerima fakta berserta gambar kad pengenalan menunjukkan nama 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty', atas kapasitinya sebagai seorang Menteri.

“Anak guam saya telah menerima gambar kad pengenalan lama daripada ketua pengarah JPN, atas kapasitinya selaku Menteri Dalam Negeri,” soal peguam itu.

Dr Mahathir kemudiannya berkata, Ahmad Zahid mendakwa memperoleh maklumat itu daripada JPN, sedangkan nama dalam kad pengenalan, ialah Mahathir bin Mohamad, tidak dinyatakan dalam mana-mana bahagian perkataam ‘Kutty’.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir percaya, individu yang dirujuk Ahli Parlimen Bagan Datuk selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia, dipandang serong.

Dr Mahathir juga mendakwa, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui.

Prosiding bersambung Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!