Pengunjung tak datang, peniaga tuntut ganti rugi daripada penganjur
SEREMBAN - Dijanjikan kehadiran pengunjung sehingga 10,000 orang dalam tempoh tiga hari, namun mahu melihat 100 orang pun jauh sama sekali.
Itu dakwaan para peniaga yang terlibat dalam program tiga hari bermula Jumaat lalu yang dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini.
Mereka juga mendakwa penganjur seolah-olah mahu lepas tangan apabila dipersoalkan mengenai perkara berkenaan.
Disebabkan itu, seramai tujuh peniaga membuat laporan polis pada Ahad bagi menuntut ganti rugi.
Wakil peniaga yang mahu dikenali sebagai Ain, 32, berkata, kebanyakan peniaga tertarik untuk menyertai program itu apabila penganjur menguar-uarkan dapat menarik 5,000 hingga 10,000 pengunjung.
"Penganjur kata program itu kerjasama dengan MBS, tapi apabila disemak MBS hanya beri kelulusan untuk tapak saja.
"Kita juga diberitahu ada pelbagai program menarik akan dianjurkan, tapi malangnya ia tak seperti dijanjikan dan paling menyedihkan orang memang tak datang," katanya dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, bagi satu tapak khemah, dia dikenakan bayaran RM1,000, namun pendapatan diperoleh dalam tempoh tiga hari, kurang daripada RM150.
Ujarnya, ia merupakan mimpi ngeri buat peniaga kecil seperti mereka, malah penganjur seolah-olah mahu lepas tangan.
"Keseluruhan modal yang saya keluarkan untuk berniaga ini lebih RM2,000. Jadi saya nak tuntut ganti rugi daripada pihak penganjur.
"Tak silap saya ada lebih 20 peniaga yang menyertai program ini dan masing-masing semuanya kecewa serta mahu menuntut ganti rugi," katanya.
Ujar Ain, dia sudah beberapa kali menyertai program seumpama itu namun ini kali pertama terpaksa menanggung rugi yang teruk.
Malah katanya, peniaga juga sepakat untuk mengambil tindakan selanjutnya sekiranya penganjur terus mendiamkan diri.
"Kami faham berniaga ini ikut pada rezeki. Tapi masalahnya orang tak tahu pun ada program itu yang sepatutnya jadi tanggungjawab penganjur untuk mempromosikannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!