Rayuan Peter Anthony kes palsu kontrak UMS 27 November
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini menetapkan keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 27 November depan.
Ketika dihubungi, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes yang dibuat secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.
Sementara itu, peguam, Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili Peter, 53, mengesahkan perkara itu.
Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas, dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Peter, setelah bersetuju dengan dapatan hakim bicara Mahkamah Sesyen, bahawa ahli politik itu memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan tertuduh mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.
Dia sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman jel maksimum tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, ketika ditemui media, Wan Shaharuddin berkata, pada April lalu, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu mengemukakan representasi pertama namun ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC), pada hujung Mei lalu.
Beliau berkata, ahli politik itu memohon AGC menerima representasinya, supaya permohonan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda, dibenarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!