Lima ditahan bersama syabu bernilai RM1.04 juta

30 bungkusan plastik berwarna keemasan yang mengandungi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.
30 bungkusan plastik berwarna keemasan yang mengandungi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Lima ahli sindiket pengedaran dadah ditahan bersama 31.41 kilogram (kg) syabu bernilai RM1.04 juta dalam tiga siri tangkapan berasingan yang dijalankan bermula 20 hingga 22 Ogos lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek merupakan seorang lelaki tempatan manakala empat lagi warga asing berusia lingkungan 23 hingga 40 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam sebuah kenderaan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dalam operasi terancang.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan pada kenderaan suspek, polis merampas 30 bungkusan plastik berwarna keemasan bertulis 'Guanyinwang Refined Chinese Tea' yang mengandungi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.

"Dadah itu dianggarkan seberat 31.41 kg bernilai RM1.04 juta. Hasil siasatan awal, kelima-lima suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hamzah menambah, sindiket tersebut bergiat aktif sejak Januari tahun ini dengan menjalankan pengedaran dadah jenis syabu untuk dihantar ke pasaran luar negara.

"Modus operandi sindiket ini adalah mengambil upah menghantar syabu dari pengedar-pengedar tempatan ke pasaran negara jiran melalui jalan laut.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 150,000 penagih," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis turut menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal bernilai RM26,500 dan wang tunai RM4,000.

"Jumlah sitaan bersama nilai rampasan dadah keseluruhannya bernilai RM1.07 juta.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima tangkapan negatif sebarang jenis dadah dan tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Hamzah berkata, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!