Ke mana wang, harta pusaka wanita selepas kematian?
SHAH ALAM - Secara puratanya, wanita di seluruh dunia hidup kira-kira lima peratus lebih lama berbanding lelaki dan perbezaan jangka hayat tersebut memberi impak besar terhadap perancangan harta pusaka.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees Bhd, Nor Fazlina Mohd Ghouse berkata, sejarah juga menunjukkan bahawa wanita kurang terlibat dalam keputusan kewangan dan terpaksa menanggung beban tanggungjawab penjagaan, sama ada untuk anak-anak, ibu bapa, atau pasangan.
Justeru menurutnya, kerana itu penting untuk golongan wanita mempunyai asas pengetahuan yang kukuh tentang perancangan kewangan dan juga harta pusaka.
"Pemerkasaan wanita bermula dengan menggalakkan mereka agar lebih celik kewangan, menyediakan akses kepada sumber dan pendidikan, dan memupuk komuniti yang menyokong di mana wanita boleh belajar, dan berkembang maju dari segi kewangan.
"Organisasi seperti Maybank melalui Maybank Women Council memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kebebasan kewangan dan pemerkasaan wanita.
"Tidak kira sama ada berstatus bujang, berkahwin, bercerai atau kematian suami, setiap wanita mempunyai keluarga yang akan ditinggalkan dan mereka perlu merancang harta pusaka.
"Walaupun sebagai seorang pencinta kucing, saya pasti mereka mahu kucing itu dijaga sebaiknya selepas dia meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Nor Fazlina yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam sektor kewangan akan mengupas lebih lanjut mengenai topik pengurusan kewangan dan harta wanita pada program bual bicara anjuran Sinar Daily, She Leads siri ke-4 yang bakal berlangsung esok di di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula jam 2 petang.
Program yang mengetengahkan topik 'Don’t Go Broke in Your Golden Years' itu, turut menampilkan Ketua Jabatan Polisi dan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff dan Perancang Kewangan dan Harta, Erin Adlina Adnan sebagai panelis.
Orang ramai yang berminat menyertai program ini boleh dapatkan Tiket berharga RM100 dan nikmati potongan 10 peratus untuk pembelian lebih sepuluh tiket.
Pembelian tiket boleh dibuat melalui laman web https://sheleads.sinardaily.my/product/dont-go-broke-in-your-golden-years/.
Pelbagai cenderahati istimewa menanti para peserta dan mereka berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai sehingga RM700.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!