Balai bomba 'dua alam' dirancang dibina di Pulau Tioman

Wan Mohamad Zaidi menyampaikan Geran PBS JBPM Pahang 2024 kepada salah satu wakil pasukan pada majlis di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota pada Isnin.
Wan Mohamad Zaidi menyampaikan Geran PBS JBPM Pahang 2024 kepada salah satu wakil pasukan pada majlis di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah balai bomba berkonsepkan hibrid atau 'dua alam' dirancang dibina di Pulau Tioman melalui peruntukan RM8 juta yang telah diluluskan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa berkata, setakat ini belum ada balai bomba jenis itu dan jika cadangan tersebut dapat direalisasikan, ia adalah balai bomba hibrid yang pertama di negara ini.

Menurutnya, proses pembinaan balai bomba itu masih dalam peringkat perbincangan bersama kerajaan negeri bagi perolehan tanah.

"Tapak yang sesuai bagi tujuan itu telah dikenal pasti dan dipersetujui.

"Tapak ini terletak di pinggir laut sesuai dengan konsep balai itu," katanya.

Wan Mohamad Zaidi (duduk, tengah) bersama penerima sijil penghargaan dan geran PBS JBPM Pahang 2024 pada majlis di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota pada Isnin.
Wan Mohamad Zaidi (duduk, tengah) bersama penerima sijil penghargaan dan geran PBS JBPM Pahang 2024 pada majlis di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Pasukan Bomba Sukarela (PBS) JBPM Pahang 2024 di sini pada Isnin.

Wan Mohamad Zaidi berkata, balai itu kelak akan mengutamakan penggunaan bot yang ditempatkan terus di balai manakala jentera mungkin hanya ditempatkan di kawasan tertentu misalnya di Tekek.

Artikel Berkaitan:

"Balai konsep ini dirancang mengambil kira masalah perhubungan jalan darat di pulau tersebut.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk melengkapkan balai itu dengan kuarters melalui peruntukan tambahan yang akan dipohon kelak," ujarnya.

Sementara itu katanya, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM4 juta bagi pembinaan balai bomba di Benta, Lipis dan RM5 juta bagi projek naik taraf Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong.

Beliau berkata, tender bagi projek naik taraf BBP Bentong dijangka dikeluarkan Disember tahun ini.

Mengulas berhubung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah supaya diwujudkan sebuah balai bomba di Tanjung Lumpur di sini, Wan Mohamad Zaidi berkata, perkara itu sudah ada dalam perancangan bagi mewujudkan kemudahan tersebut di kawasan itu.

"Susulan titah Tuanku itu, perbincangan telah dijalankan bersama pihak pejabat daerah untuk proses perolehan tanah selain memanjangkan cadangan tersebut ke peringkat ibu pejabat untuk tindakan selanjutnya.

"Lokasi cadangan bagi pembinaan balai bomba itu mungkin di kawasan Penor, di sini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!