Wabak Wuhan bukan alasan lupakan rasuah
BERITA mengenai syarikat pembuat kapal terbang terkemuka dunia, Airbus yang disaman oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis kerana rasuah menjadi tajuk utama beberapa media utama barat mutakhir ini.
Kebetulan saya sendiri baru menaiki pesawat jenis Airbus pada bulan lalu untuk ke seberang laut.
Sesungguhnya ‘penyakit rasuah’ tidak mengenal saiz syarikat, negara, jawatan dalam kerajaan atau apa juga bentuk entiti selagi ada yang mendapat habuan wang ataupun perkhidmatan sebagai balasan dengan jalan mudah dan salah di sisi undang-undang.
Kejayaan Malaysia menduduki tangga ke-51 tahun lepas berbanding tempat ke-61 pada tahun 2018 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019, seolah-olah dilupakan terus apabila wabak penyakit yang bermula di Wuhan menjadi perbualan hangat oleh setiap lapisan masyarakat.Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di belakang Singapura dan Brunei, yang masing-masing menduduki tempat keempat dan ke-35, selain Indonesia pada kedudukan ke-85.
Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kita kerana idea serta kesungguhan beliau melalui Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 telah membuahkan hasil dan ia diiktiraf dunia.
Untuk memastikan pelaksanaan NACP 2019-2023 berkesan, pendekatan 5A yang menyeluruh boleh diaplikasikan oleh semua organisasi yang terdiri daripada jangkaan (Anticipation), advokasi (Advocacy), persepakatan (Alliance), tindakan (Action) dan akreditasi (Accreditation).
Jangkaan awal masalah (anticipation), ancaman dan cabaran rasuah boleh dinilai melalui Penilaian Risiko Rasuah (CRA) yang melibatkan proses pengumpulan dan analisis maklumat daripada pelbagai sumber, sekaligus dapat membantu organisasi mengenal pasti langkah-langkah pembetulan yang sesuai untuk mengurangkan risiko rasuah dalam organisasi masing-masing.
Seterusnya, cadangan polisi dan peraturan untuk mengatasi risiko rasuah dalam organisasi dengan pembuat keputusan hendaklah bertanggungjawab terhadap setiap syor serta mengambil tindakan sama ada melalui pengukuhan sistem, struktur, tenaga kerja, belanjawan, latihan dan sebagainya.
Kerjasama (Alliance) dan koordinasi amat perlu antara pihak dalaman dan persekitaran luaran organisasi, termasuk mereka yang terlibat dalam pelaksanaan dasar. Ia akan membantu organisasi untuk memaksimumkan penggunaan sumber melalui perkongsian dalam pelbagai bentuk seperti logistik supaya lebih berkesan serta tidak berharap kepada satu sumber semata-mata.
Berikutnya ialah pelaksanaan (Action) dan penguatkuasaan undang-undang, sama ada melalui pendekatan pencegahan atau program pendidikan awal.
Organisasi hendaklah bertindak tegas dan adil dalam setiap tindakan untuk menghalang dan memerangi rasuah di semua peringkat berlandaskan prinsip perundangan sedia ada.
Akhir sekali akreditasi (Accreditation) yang memfokuskan kepada proses pemantauan dan penilaian untuk memastikan semua peraturan telah dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya oleh individu di dalam organisasi.
Tujuan akreditasi bukan sekadar untuk memberi ganjaran, tetapi juga untuk memperbaiki matlamat atau aktiviti semasa, serta menggalakkan kesemua warga kerja berbuat perkara yang positif. Semoga pendekatan 5A ini dapat dilakasanakan di organisasi /syarikat /jabatan anda ke arah kedudukan CPI Malaysia untuk tahun 2020 yang lebih cemerlang dan bermaruah.
Semasa bertitah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1438 Hijrah bersamaan tahun 2016, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah melahirkan kebimbangan terhadap gejala pecah amanah dan rasuah yang dilakukan oleh golongan berpendidikan tinggi serta berjawatan kanan secara berleluasa dan berskala besar ketika itu.
Sultan Nazrin menegaskan bahawa sejarah membuktikan perbuatan rasuah dan penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia adalah faktor utama yang menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan serta keruntuhan sesuatu tamadun.
*** Penulis adalah Ahli Parlimen Hulu Langat, Ahli Lembaga Pengarah Organisasi Anggota-anggota Parlimen Global Menentang Rasuah (GOPAC) dan Naib Pengerusi Anggota-anggota Parlimen Asia Tenggara Menentang Rasuah (SEAPAC).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!