Tambahan insentif menanti atlet angkat berat Perak
KEJAYAAN atlet angkat berat wanita Perak, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani yang mencipta sensasi dengan memecahkan tiga rekod kebangsaan kategori 45 kilogram (kg) wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 baru-baru ini mendapat perhatian kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa atlet yang menyumbang tiga pingat emas itu akan diberikan insentif tambahan sebanyak RM3,000 kerana berjaya memecahkan tiga rekod tersebut.
"Memang kita ada sediakan insentif tambahan untuk atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan. Macam Qistina dia pecah tiga rekod kebangsaan. Tiga-tiga itu rekod kebangsaan jadi dia layak terima RM1,000 bagi setiap rekod yang dipecahkan.
"Insentif tambahan itu memang kita sudah sediakan dalam bajet untuk Sukma ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini pada Isnin.
Selain habuan memecahkan rekod, atlet berkenaan akan turut menerima insentif RM5,000 bagi pingat emas yang dimenangi pada kejohanan tersebut.
Qistina, 19, berjaya memecahkan rekod acara snatch dengan angkatan seberat 65kg, clean and jerk (79kg) seterusnya mendominasi podium dengan angkatan keseluruhan 144kg.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berpuas hati dengan pencapaian atlet negeri Perak pada kejohanan yang berlangsung di Sarawak itu.
Katanya, kontinjen Perak yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Ahmad Suaidi Abdul Rahim berjaya mencapai sasaran 35 pingat emas seperti diingini biarpun tidak berada pada lima pasukan terbaik.
"Sasaran kita memanglah hendak sekurang-kurangnya 35 pingat emas dan kedudukan nombor lima sepatutnya, tapi kita tak tercapai nombor lima terbaik, kita nombor tujuh.
"Bagaimanapun, kita capai 35 emas itu, pada saya itu pencapaian walaupun beberapa acara yang sepatutnya dapat emas, terlepas tapi ada acara yang tak sangka dapat emas, dapat," katanya.
Beliau turut berharap segala kelemahan yang dikenal pasti dapat diperbaiki menjelang penganjuran seterusnya dalam tempoh dua tahun akan datang di Selangor.
Saarani juga menzahirkan penghargaan kepada semua Exco dan agensi yang diberi tanggungjawab menjadi bapa angkat kepada sukan berkenaan sehingga atlet-atlet berjaya membawa balik pingat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!