PRK Nenggiri: Bersatu dakwa BN beli undi, sedia fail petisyen

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mendakwa politik wang dan ‘beli undi’ dengan purata RM500 antara perkara utama yang akan disenaraikan dalam petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos lalu.

Pengerusi Bersatu, Datuk Kamarudin Md Nor, berkata, pihaknya masih lagi mengumpulkan bukti-bukti dan akan membuat perbincangan dengan pakar undang-undang serta peraturan pilihan raya bagi menentukan kesemua bukti terpakai dalam petisyen itu.

“Dipercayai ‘beli undi’ ini berlaku di kesemua 20 pusat mengundi di Nenggiri namun kami masih mengumpulkan bukti-bukti dan saksi-saksi juga sudah ada, cuma menunggu kesediaan mereka untuk tampil membantu petisyen itu nanti.

“Jumlah ‘beli undi’ yang diberitahu kepada kami, paling sedikit RM300 atau purata RM500, bergantung pada seseorang individu, kalau beri kepada saya takkan mereka bagi RM500,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Merdeka Hotel Jewels, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Pengurus Hotel Jewels, Muhammad Azrin Zainal Abidin.

Kata Kamarudin yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan, selainnya, turut dimasukkan dalam petisyen itu nanti ialah isu berkaitan dakwaan menggunakan bangunan kerajaan untuk berkempen.

Kamarudin bergambar bersama kakitangan Hotel Jewels pada Program Jiwa Merdeka yang diadakan di Kota Bharu.
Kamarudin bergambar bersama kakitangan Hotel Jewels pada Program Jiwa Merdeka yang diadakan di Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

“Meletakkan simbol parti seolah-olah bangunan milik kerajaan itu kepunyaan sesebuah parti.

“Sebenarnya, bukti tidak perlu banyak, cukup satu atau dua yang kukuh untuk kami failkan pestiyen dalam tempoh enam bulan selepas keputusan pilihan raya,” katanya.

Pada PRK DUN Nenggiri lalu, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, merampas semula kerusi untuk UMNO dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,739 undi.

BN memenangi kerusi Nenggiri selama empat pilihan raya berturut-turut sejak kawasan itu diwujudkan pada 2004 sebelum PN menerusi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menang kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) tahun lalu dengan majoriti 810 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!