Hizbullah bedil pangkalan tentera Israel, Tel Aviv huru-hara

Penunjuk perasaan menuntut tindakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu membebaskan tebusan Israel yang ditangkap pejuang Hamas sejak konflik tercetus di Genting Gaza pada 7 Oktober lalu, - AFP
Penunjuk perasaan menuntut tindakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu membebaskan tebusan Israel yang ditangkap pejuang Hamas sejak konflik tercetus di Genting Gaza pada 7 Oktober lalu, - AFP
A
A
A

BEIRUT - Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah mendakwa, serangan besar-besaran ke atas Israel pada Ahad bertujuan menyasarkan pangkalan perisikan tentera berhampiran Tel Aviv dan menafikan Israel memusnahkan ribuan pelancar roketnya.

Israel melancarkan serangan udara ke Lubnan pada Ahad dengan menyatakan mereka 'berjaya' memusnahkan ribuan pelancar roket Hizbullah dan menggagalkan serangan besar.

Manakala Hizbullah menyatakan mereka menghantar dron dan roket ke wilayah Israel.

"Sasaran utama untuk operasi di dalam Israel adalah Glilot iaitu pangkalan utama perisikan tentera Israel yang terletak sekitar 100 kilometer (km) dari sempadan Israel-Lubnan, kata Hassan dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Tentera Israel pula berkata, Hizbullah gagal menyerang kemudahan itu.

"Saya boleh mengesahkan bahawa tiada sebarangan serangan di pangkalan Glilot," kata jurucakap Israel kepada AFP.

Menurut laporan media Israel, pangkalan itu menempatkan pejabat agensi perisik Mossad, yang dirahsiakan kedudukan mereka.

"Bercakap mengenai bagaimana penentangan (Hizbullah) akan melancarkan 8,000 atau 6,000 roket dan dron dan (Israel) menggagalkan ini... adalah dakwaan palsu", kata Hassan, sambil menambah bahawa hanya puluhan pelancar roket dimusnahkan.

Artikel Berkaitan:

Hassan berkata, kumpulannya melakukan serangan dua fasa, dengan yang pertama melancarkan 340 roket Katyusha ke 11 kedudukan tentera Israel di utara Israel dan Bukit Golan.

Beliau menambah, dron dilancarkan dari selatan Lubnan, tetapi juga dari Lembah Bekaa di timur Lubnan, berhampiran sempadan Syria dan ia merupakan kali pertama serangan Hizbullah menyasarkan kedudukan lebih dalam di Israel.

Ketua Hizbullah itu berkata, sasaran kedua adalah pangkalan Israel di Ein Shemer, dengan mendakwa bahawa beberapa dron mencapai sasaran.

Ein Shemer adalah lapangan terbang tentera yang digunakan untuk dron Israel yang terletak kira-kira 70 km dari sempadan.

Hizbullah berbalas serangan rentas sempadan dengan Israel hampir setiap hari, sebagai sokongan terhadap sekutu Palestinnya, Hamas. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!