Pasukan penyelamat guna kamera cari mangsa dalam pembentung

Sulizmie Affendy dalam sidang akhbar di lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Isnin.
Sulizmie Affendy dalam sidang akhbar di lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan teknologi kamera melalui dua teknik iaitu 'push rod' dan 'crawler' yang dimasukkan ke dalam paip pembetungan bagi mencari mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, operasi SAR diteruskan pada hari keempat bagi mengesan sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan mangsa.

Menurutnya, setakat ini operasi 'flushing' dan mesin 'jetter' berkuasa tinggi sehingga 3,000 psi iaitu pacutan air tekanan tinggi telah digunakan untuk menembak serpihan yang ada dalam lurang pembentungan Wisma Yakin.

"Setakat ini tumpu di lurang kumbahan Wisma Yakin kerana awal pagi tadi (Isnin) pasukan penyelamat telah menggunakan kamera yang bergerak dalam pembentungan.

"Dalam jarak kira-kira empat meter, dikesan ada serpihan objek berupa batu bata, jadi kita berterusan guna teknik ini dan pecahkan serpihan objek supaya bila pecah, air akan turun ke bawah dan apa juga termasuk badan manusia akan melepasi objek itu," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam.

Beliau berkata, pasukan penyelamat akan fokus lurang kumbahan di Wisma Yakin terlebih dahulu.

Jelasnya, ini kerana lurang itu dikesan terdapat banyak objek dan serpihan batu.

Artikel Berkaitan:

"Dibimbangi ada objek lain di sebalik serpihan-serpihan berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Sulizmie, pihak bomba dan IWK masih meneruskan flushing secara berperingkat di setiap lurang kumbahan dan pencarian di Loji IWK Pantai Dalam.

"Namun sehingga kini (Isnin) sebarang petunjuk masih belum ditemui," ujarnya.

Dalam kejadian pada Jumaat, mangsa seorang wanita warga India dilaporkan hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!