Pemuda UMNO perlu teroka peluang baharu, cipta gaya inovatif - Zahid
SHAH ALAM - Pemuda UMNO perlu meneroka peluang baharu, mencipta gaya inovatif dan memastikan suara anak muda terus didengar di setiap peringkat seluruh negara.
Dalam ucapan sempena meraikan ulang tahun Pemuda UMNO yang ke-75 hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pemuda UMNO adalah nadi perubahan yang akan menentukan masa depan parti itu dan Malaysia.
Menurutnya, pendekatan Pemuda UMNO di zaman beliau pastinya berbeza dengan generasi masa kini.
"Seperti yang saya ungkapkan ketika ucapan dasar #PAU2024 (Perhimpunan Agung UMNO) baru-baru ini, yang mana pemuda dan puteri jadilah jurubicara parti di alam maya melalui penghasilan kandungan dan melahirkan pempengaruh yang berwibawa.
"Di tangan anda lah terletak harapan besar untuk mengubah sudut pandang anak-anak muda kepada parti dan kembali bersama dengan kita semula," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Beliau memberitahu, Pemuda UMNO merupakan satu pergerakan yang telah menjadi pewaris kepada legasi perjuangan parti dan negara.
"Pada tanggal 26 Ogos ini, kita menyambut ulang tahun ke-75 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Marilah kita jadikan ulang tahun ini sebagai detik untuk memperbaharui azam dan memperkuatkan langkah.
"Bersama, kita akan terus mengangkat Pemuda UMNO sebagai pergerakan berwawasan dan berpengaruh dalam memastikan kestabilan politik dan sosial di negara kita," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!