Lelaki maut diserang, ditetak sekumpulan lelaki bertopeng

Kumpulan lelaki berkenaan turut mengejar mangsa hingga ke Hospital Jasin.
Kumpulan lelaki berkenaan turut mengejar mangsa hingga ke Hospital Jasin.
A
A
A

JASIN - Seorang lelaki maut selepas dipercayai diserang dan ditetak oleh sekumpulan lelaki bertopeng di hadapan sebuah kedai gunting rambut, di Rim di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kumpulan lelaki berkenaan turut mengejar mangsa hingga ke Hospital Jasin.

"Pihak polis telah mengesan beberapa video tular di aplikasi media sosial memaparkan pergaduhan di hospital berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kes tetak di hadapan premis gunting rambut di Taman Rim Baru yang melibatkan mangsa yang berusia 24 tahun ditetak oleh sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, mangsa dikatakan sempat menghubungi adik lelakinya yang kemudian bergegas membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Mangsa sempat diturunkan di jabatan kecemasan hospital berkenaan sebelum kenderaan dipandu adiknya itu ditahan oleh sebuah kenderaan lain.

"Sekumpulan lelaki keluar dari kenderaan berkenaan dan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa sambil membawa sebilah parang.

"Adik mangsa itu cuba melarikan diri sehinggakan kereta dipandunya terlanggar sebuah ambulan dan mengalami kerosakan serta kemek di bahagian bawah lampu sebelah pemandu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lelaki berusia 22 tahun itu terus memecut kenderaannya menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (Jasin) IPD yang terletak kira-kira 3 kilometer dari Hospital Jasin dan bertindak melaporkan insiden berkenaan kepada pihak polis.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan pada jam 10.15 malam manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Berikutan kejadian itu tiga suspek berusia 21,22 dan 31 tahun berjaya ditahan dan pihaknya masih giat mengesan beberapa lagi individu lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana menyebabkan kematian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 016-5209501 atau menghubungi IPD jasin di talian 06-529 2222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!