Ustazah maut, SUV terbabas bertembung lori

Keadaan kenderaan yang remuk dalam insiden kemalangan tersebut - Foto BBP Renggam. Gambar kecil: Fauziah Selamat
Keadaan kenderaan yang remuk dalam insiden kemalangan tersebut - Foto BBP Renggam. Gambar kecil: Fauziah Selamat
A
A
A

MACHAP - [DIKEMAS KINI] Seorang ustazah maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV dipandunya terbabas lalu bertembung lori dari arah bertentangan di kilometer (KM) 80, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam, di sini, tengah hari Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa, Fauziah Selamat, 46, maut akibat parah di badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dari arah Johor Bahru menghala ke Ayer Hitam manakala lori jenis Hino dari arah bertentangan.

“Tiba di tempat kejadian, ustazah berkenaan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan di laluan lori dan bertembung.

“Akibat kemalangan yang berlaku, pemandu meninggal dunia manakala pemandu lori berusia 36 tahun mengalami sakit pada bahagian lutut kanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Maznan Muhamad dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai pada jam 1.16 petang.

Katanya sebaik menerima panggilan tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan 12 anggota bomba dari BBP Renggam dihantar ke lokasi.

Artikel Berkaitan:

Anggota bomba membawa mayat wanita berkenaan. Foto BBP Renggam
Anggota bomba membawa mayat wanita berkenaan. Foto BBP Renggam

"Setibanya ke lokasi didapati kemalangan berkenaan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah SUV jenis Honda HRV dengan lori jenis Hino.

"PKO kemudiannya mengeluarkan pemandu HRV Honda yang merupakan seorang wanita berusia 46 daripada tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

"Bagaimanapun, wanita tersebut disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan di lokasi sementara pemandu lori Hino berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan pada jam 2.19 petang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!