Budak maut didera: Suami isteri didakwa di mahkamah esok
GOMBAK - Pasangan suami isteri yang ditahan susulan kematian kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dipercayai didera akan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pasangan itu akan dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
"Keputusan kes setelah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor pada hari ini (Isnin), pertuduhan terhadap pasangan itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Selayang esok (Selasa)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, media melaporkan Bapa tiri, 29, dan ibu kandung mangsa, 28 yang ditahan susulan kes itu pada 18 Ogos lalu disambung reman seminggu lagi.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kanak-kanak perempuan itu dipukul dengan tangan, kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul sehingga maut.
Hasil siasatan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh.
Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa dapati terdapat kesan kecederaan di bahagian muka dan bibir, paha, dagu dan lutut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!