Tanah jerlus Masjid India: 'Keluarga mahu tatap wajah mangsa’

Penduduk sekitar melihat keadaan terkini di sekitar operasi pencarian warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Isnin. Foto Bernama
Penduduk sekitar melihat keadaan terkini di sekitar operasi pencarian warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli keluarga wanita warga India yang masih hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini berharap dapat menatap wajah mangsa.

Perkara itu dikongsi oleh Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Arvend Appiasamy selepas mengadakan pertemuan dengan ahli keluarga mangsa.

Jelas Arvend, ahli keluarga mangsa telah menerima hakikat dengan insiden yang berlaku dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

“Sewaktu pertemuan, pada awalnya mereka juga rasa segan nak bercakap dengan saya.

“Tetapi saya juga merupakan orang Telegu, bermaksud latar belakang sama dengan mereka.

“Bila saya guna bahasa itu, mereka terkejut dan rasa lebih selesa dan sudah pasti sedih pada awalnya.

“Tetapi pada masa sama mereka dah terima hakikat dan kata pada saya, (mereka) tidak jangka apa-apa cuma nak tengok muka mangsa sahaja.

“Itu cukup sedih untuk dengar... Mereka sudah sedia apa-apa sahaja situasi,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Suami mangsa tanah jerlus warga India, Mathavan, setia berada di lokasi kejadian bagi menantikan perkembangan terkini bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. Foto Bernama
Suami mangsa tanah jerlus warga India, Mathavan, setia berada di lokasi kejadian bagi menantikan perkembangan terkini bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. Foto Bernama

Berkongsi lanjut, beliau berkata, ahli keluarga mangsa secara peribadi memintanya untuk memberi ‘push factor’ kepada pihak berkuasa bagi memcepatkan misi pencarian.

“Terapi saya sudah jelaskan pada mereka bahawa pihak berkuasa kita ini sudah pun bersungguh-sungguh sebenarnya,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, Ahmad Zahid telah mengarahkannya untuk menyantuni ahli keluarga dan memberikan sumbangan bagi meringankan beban ahli mangsa.

Dalam pada itu, Arvend memaklumkan semua visa ahli keluarga mangsa wanita telah dilanjutkan selama sebulan lagi berkuat-kuasa hari ini.

Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang dipercayai terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), pihak berkuasa memaklumkan teknik ‘flushing’ digunakan untuk mencari mangsa.

Bagaimanapun, setakat ini mangsa masih belum ditemui selepas lebih 72 jam operasi SAR. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!