Polis trafik kemalangan akibat kereta tukar lorong tiba-tiba
KUALA LUMPUR - Tindakan pemandu sebuah kereta menukar lorong menyebabkan seorang anggota polis trafik yang menunggang motosikal tercampak ke atas jalan raya, di Jalan Cheras, di sini, pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada jam 10.25 pagi, anggota polis trafik itu dalam perjalanan ke tempat tugas.
"Kemalangan tersebut berlaku melibatkan sebuah kereta yang telah mengubah laluan dan dilanggar oleh motosikal ditunggang anggota polis trafik yang sedang menghala ke tempat tugas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Zamzuri berkata, anggota polis trafik itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pemandu kenderaan dan penunggang motosikal itu telah hadir ke balai untuk siasatan lanjut," katanya.
Terdahulu tular rakaman video kamera papan pemuka berdurasi 28 saat yang memaparkan anggota polis trafik menunggang motosikal sedang berada di lorong paling kiri sekali.
Sebuah kereta jenis Honda City berwarna kelabu dari arah kanan kelihatan menukar lorong sehingga menyebabkan anggota polis trafik itu tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kenderaan itu.
Kemalangan itu menyebabkan motosikal anggota polis itu berpusing beberapa kali sehingga dirinya tercampak ke atas jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!