Koronavirus: Pulau Pinang rujuk AirAsia laluan penerbangan baharu ke China
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan membuat susulan dengan AirAsia tentang cadangan syarikat penerbangan itu untuk mengadakan laluan baharu antara Pulau Pinang dan Chengdu China dalam situasi wabak novel koronavirus yang melanda negara itu sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Yeoh Soon Hin berkata, penerbangan terus itu dijadualkan bermula pada 8 Mac.
“Berikutan keadaan terbaharu (tentang koronavirus) kami akan mendapatkan maklumat daripada AirAsia sama ada terdapat sebarang perubahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Soon Hin terdahulu menghadiri program promosi awal bagi edisi keenam Pesta Belon Panas Pulau Pinang 2020 (HAB2020) di padang polo di sini.
Pada 10 Januari, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam satu kenyataan berkata laluan tambahan itu dengan tiga penerbangan mingguan akan meningkatkan kedatangan pelancong ke Pulau Pinang dan sebaliknya.
Sementara itu, Soon Hin berkata, HAB2020 akan menyediakan topeng muka dan sanitasi tangan untuk orang ramai dalam usaha untuk membendung jangkitan koronavirus dan menambah semua acara mega di negeri itu termasuk yang dianjurkan oleh organisasi swasta harus menyediakannya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!