Bekas pengendali England, Sven-Goran Eriksson meninggal dunia

Sven-Goran Eriksson meninggal dunia pada usia 76 tahun pada Isnin
Sven-Goran Eriksson meninggal dunia pada usia 76 tahun pada Isnin
A
A
A

BEKAS ketua jurulatih bola sepak England dan Lazio, Sven-Goran Eriksson dari Sweden meninggal dunia pada usia 76 tahun pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

"Sven-Goran Eriksson telah meninggal dunia. Selepas lama sakit, beliau meninggal dunia di rumah pada waktu pagi, dikelilingi oleh keluarga," menurut keluarganya dalam satu kenyataan.

"Keluarga dekat yang berada di samping mendiang ialah anak perempuannya Lina; anak lelaki Johan dengan isteri Amana dan cucu perempuan Sky; bapa Sven; teman wanita Yanisette dengan anak lelaki Alcides.

"Keluarga minta dihormati hasrat mereka untuk berkabung secara tertutup dan tidak dihubungi," menurut kenyataan itu.

Pada Januari, Eriksson mendedahkan bahawa beliau menghidap kanser terminal.

Antara jurulatih bola sepak terkenal di Eropah, Eriksson melatih banyak kelab seperti Lazio Itali, Fiorentina dan Roma, Benfica Portugal dan Manchester City England, serta pasukan kebangsaan Inggeris.

Eriksson melatih England pada 2001-2006, dan merupakan ketua jurulatih asing pertama Three Lions. Beliau mengetuai England ke Piala Dunia FIFA 2002 dan 2006 dan EURO 2004.

Dalam kerjayanya, beliau juga menguruskan Mexico, Ivory Coast, dan Filipina.

Artikel Berkaitan:

Beliau memenangi 18 trofi termasuk gelaran Serie A Itali bersama Lazio pada 2000, memenangi Winners’ Cup Piala Eropah dan Piala Super UEFA bersama kelab Itali, serta tiga gelaran liga Portugis bersama Benfica.

Eriksson mengetuai Goteborg atas kejayaan Piala UEFA pada 1982, pencapaian bersejarah bagi kelab Sweden itu.

Disebabkan masalah kesihatan, Eriksson meletakkan jawatan baru-baru ini sebagai pengarah sukan di kelab divisyen rendah Sweden Karlstad pada Februari 2023.

Badan induk bola sepak Eropah UEFA, Persatuan Bola Sepak Sweden, pasukan kebangsaan Inggeris, dan kelab yang Eriksson berkhidmat seperti Lazio, Roma, Manchester City, Leicester City, Benfica dan Goteborg mengucapkan takziah atas pemergiannya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!