Media 'sibuk' di dua mahkamah pagi ini

Muhyiddin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang hari ini berhubung ucapannya yang dikatakan menyentuh isu 3R.
Muhyiddin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang hari ini berhubung ucapannya yang dikatakan menyentuh isu 3R.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengamal media dijangka 'sibuk' di dua mahkamah berasingan iaitu di Gua Musang, Kelantan dan Selayang, Selangor bagi dua prosiding kes berkepentingan awam pada Selasa.

Paling mencuri tumpuan ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, berhubung ucapannya yang dikatakan menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).

Ia didakwa berlaku ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berusia 76 tahun itu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Muhyiddin dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Susulan itu, Istana Pahang pada 19 Ogos lalu membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Pada 21 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, sebanyak 30 laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu, membabitkan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Sementara itu, pasangan suami isteri yang ditahan susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang, juga akan dituduh hari ini.

Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kanak-kanak malang itu dipukul dengan tangan, kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul sehingga maut.

Hasil siasatan polis mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh.

Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian muka dan bibir, paha, dagu dan lutut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!