ABM bersiap awal ke LA28

Rexy Mainaky. Foto Bernama
Rexy Mainaky. Foto Bernama
A
A
A

AKADEMI Badminton Malaysia (ABM) mula mengorak langkah apabila akan menyediakan pelan komprehensif sebagai persediaan awal untuk ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berkata, satu perbincangan bersama barisan kejurulatihan akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perbincangan pelan jangka panjang skuad kebangsaan itu akan turut disertai pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam.

Perkembangan tersebut susulan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bakal meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional bermula bulan depan.

"Buat masa ini, ramai jurulatih yang berada di luar untuk Terbuka Jepun dan Korea Selatan.

"Sebaik mereka pulang, kita akan adakan pertemuan bersama (pemangku) presiden.

"Datuk Subramaniam sudah meminta saya serta jurulatih untuk membincangkan pelan 2028 (Olimpik Los Angeles), tetapi sebelum itu, kita ada Sukan SEA," katanya.

Legenda badminton Indonesia itu menjelaskan, satu pendekatan berbeza akan dilakukan apabila penyertaan pemain pada temasya atau kejohanan bukan semata-mata untuk memperoleh pengalaman, tetapi meraih pingat.

Artikel Berkaitan:

"Bukan seperti sebelum ini kita dikejutkan Filipina. Selepas itu kita ada Sukan Komanwel serta Sukan Asia dan terakhir sekali Olimpik.

"Buat masa ini, kita boleh lihat semua pemain atau beregu berkemampuan seperti beregu lelaki.

"Lima (pasangan) termasuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik... dan (beregu lain) boleh mencabar Aaron-Wooi Yik bagi 2028 nanti," kata Rexy.

BAM pada Sabtu mengesahkan Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani bakal meninggalkan kem kebangsaan dan bergerak secara profesional bermula 1 September ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!