'Sesuatu istimewa' harap khabar gembira bukan dongengan
SESUATU istimewa yang akan diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Belanjawan 2025 nanti sudah pasti menjadi tanda tanya dan merupakan satu perkara ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia khususnya pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
Sudah pasti ramai dalam kalangan anggota JBPM mengharapkan 'berita baik' itu akan benar-benar memberi khabar gembira buat mereka, bukan hanya sekadar dongengan.
Jika difikirkan sememangnya wajar kerajaan memberi insentif kepada anggota bomba sebagai penghargaan kepada mereka kerana sanggup berkorban dan merisikokan nyawa demi menyelamatkan orang ramai.
Kor Ming menjelaskan ia merupakan sebahagian daripada 33 inisiatif kewangan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.
Menurutnya, pengumuman lanjut mengenai perkara tersebut akan dibuat sejurus pengesahan diterima menerusi belanjawan yang akan dibentangkan pada Oktober depan.
"Saya yakin Belanjawan 2025 akan mengemudi negara ke satu arah yang lebih kukuh dan stabil. Saya tahu di mana KPKT telah kemukakan 33 inisiatif kewangan termasuk pelbagai inisiatif yang menarik termasuk Deposit Madani tetapi saya rasa bukan masa untuk saya mengulas kerana cadangan ini berada atas meja Menteri Kewangan untuk pertimbangan.
"Tahun depan tidak lama lagi saya akan umumkan satu berita baik hasil daripada usaha diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerajaan negara China. Tunggu berita baik, saya akan umumkan," katanya.
Dalam pada itu, bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda menyarankan kerajaan untuk menyemak semula gaji anggota JBPM kerana pendapatan diterima kini tidak setimpal dengan skop kerja yang dilakukan.
Tambahnya, anggota beruniform itu sepatutnya menerima kadar upah yang lebih baik berbanding penjawat awam lain.
“Gaji dibayar pada anggota bomba sama dengan penjawat awam yang lain, sedangkan mereka berkhidmat dalam semua keadaan dan bersedia 24 jam jika ada kecemasan," ujarnya.
Jadi, sama-sama kita tunggu pengumuman tersebut pada Pembentangan Belanjawan Madani 2025 dijadualkan pada 18 Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!