Wajar ganjaran ditambah, ambil kira pengorbanan besar anggota bomba

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

MERAK Jalanan sedih apabila membaca kisah anggota bomba kita yang telah terkorban ketika bertugas untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda orang ramai.

Jarang-jarang jasa mereka ini diangkat tetapi peranan bomba sejak dahulu sampai hari ini sangat penting kepada negara.

Merekalah Wira Merah yang akan memadamkan kebakaran, mencari dan menyelamat mangsa di mana sahaja, mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan sehinggalah menangkap ular dan selamatkan kucing.

Cuma yang tak berapa seronok ialah gaji dan ganjaran kepada mereka tidaklah tinggi seperti jabatan-jabatan lain dalam kerajaan.

Bagaimanapun, semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberi bayangan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bakal menerima sesuatu yang istimewa pada Belanjawan 2025 nanti.

Beliau tidak mendedahkan butiran tersebut, cuma menjelaskan ia merupakan sebahagian daripada 33 inisiatif kewangan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.

Jadi, Merak Jalanan memang setuju sangatlah agar anggota-anggota bomba ini diberikan ganjaran setimpal dengan pengorbanan besar kepada negara.

Seingat Merak Jalanan, semasa pentadbiran Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah meluluskan permohonan beberapa inisiatif untuk anggota bomba.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, bayaran insentif Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) RM30 bagi setiap operasi dengan jumlah maksimum RM600 sebulan, serta Insentif Penyelamat Di Air sebanyak RM30 bagi setiap operasi dengan jumlah maksimum RM600 sebulan.

Juga elaun melibatkan bayaran Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS) iaitu kadar bayaran secara prorata dengan maksimum RM150 sebulan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!