Baju anak cetus idea sewa pakaian tema merdeka
SEREMBAN - Bermula daripada menghasilkan pakaian bertemakan Hari Kebangsaan untuk anak sendiri, kini telah menjadi sumber rezeki buat seorang suri rumah untuk menyediakan khidmat sewaan busana terbabit.
Nurfatimah Abu Bakar, 41, berkata, dia mula menyediakan perkhidmatan itu sejak tiga tahun lalu dengan kadar sewaan bermula RM30 hingga RM50 termasuk aksesori.
"Semuanya bermula bila anak saya bersungguh-sungguh nak pakai baju bertemakan kemerdekaan untuk sambutan 31 Ogos di sekolahnya.
"Waktu itu di sekitar Seremban ini tak banyak lagi yang buat sewaan dan kalau nak tempah jahit pun agak mahal iaitu RM150 ke atas," katanya ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini pada Ahad.
Disebabkan mahu memenuhi permintaan anaknya itu, dia menjahitnya sendiri dengan mencedok idea di media sosial.
Dari situ katanya, dia terfikir untuk menawarkan sewaan pakaian tersebut untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun pada harga mampu milik.
"Pada mulanya saya hanya sediakan 13 pasang pakaian dan melihat permintaan yang agak baik saya telah menambah kepada 50 pakaian.
"Saya hanya iklankan di media sosial dan kesemua pakaian ini selain saya menjahitnya sendiri, ada juga yang saya beli," katanya.
Ujar ibu kepada tiga anak ini, biasanya pelanggan akan mula buat tempahan pada bulan Julai lagi dan mereka akan dikenakan deposit RM50 bagi setiap pakaian.
Tambahnya, jika pakaian yang disewa itu didapati rosak atau koyak, wang deposit mereka tidak akan dikembalikan.
"Kalau sewa lebih dari sehari akan dikenakan caj tambahan RM15.
"Tahun ini, ramai ibu bapa yang minat sewa pakaian etnik seperti baju Tun Teja dan pahlawan. Saya juga ada sediakan sari dan gaun yang mana ia sesuai digayakan oleh semua kaum," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!