Tidak wajar persoal usaha bantu rakyat Palestin cedera

Muhammad Nadir Al-Nuri. Foto Bernama
Muhammad Nadir Al-Nuri. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan mempersoalkan usaha membantu rakyat Palestin tidak sepatutnya dilakukan oleh masyarakat di negara ini yang terkenal dengan adat ketimuran, keprihatinan dan rasa kasih sayang.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, sifat-sifat itu sering ditonjolkan menerusi pelbagai situasi termasuk aktiviti diplomasi atau misi kemanusiaan.

Ujar beliau, langkah itu penting bagi mencerminkan identiti sebuah negara yang sedia membantu mana-mana rakyat yang memerlukan bantuan.

“Walaupun Malaysia berkecuali dalam banyak isu tetapi apabila ada panggilan atau seruan daripada mereka yang sedang dizalimi, kita sentiasa bersedia dengan penuh berlapang dada, membuka tangan dan menerima kehadiran rakyat Palestin ini untuk bersama-sama dengan kita.

“Saya yakin ini pandangan majoriti penduduk Malaysia meskipun ada segelintir pihak yang cuba menimbulkan isu-isu yang tidak logik berhubung apa yang dilakukan kerajaan buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kenyataan segelintir pihak yang mempersoalkan usaha murni kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk diberi rawatan.

Katanya, beliau terpanggil untuk menjawab satu hantaran daripada seorang individu yang didakwa mengatakan, ‘kalau bawa rakyat Palestin, jangan jejak bumi Sarawak’.

Ujar Muhammad Nadir, orang ramai perlu sedar bahawa nasib rakyat Palestin tidak boleh dibandingkan dengan kesusahan yang dihadapi penduduk negara lain.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, meskipun berdepan pelbagai ancaman keganasan namun penduduk Palestin enggan meninggalkan tanah air demi memperjuangkan kebebasan mereka.

Malah katanya, mereka berpeluang meninggalkan bumi Gaza pada awal peperangan namun tidak berbuat demikian.

“Ahli keluarga saya sendiri yang ada di bumi Gaza, ramai yang cedera dan mati syahid tetapi alhamdulillah majoriti mereka masih kekal dan tidak mahu keluar.

“Mereka sedar kepentingan untuk mempertahankan negara dengan tubuh badan masing-masing dan pada masa yang sama tahu kewujudan mereka di tanah air sendiri adalah sangat penting untuk pembebasan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!