Merdekakan negara daripada masalah dadah

Beberapa kes pembunuhan kejam yang berlaku di Malaysia ada kaitan dengan masalah penyalahgunaan dadah. Gambar hiasan
Beberapa kes pembunuhan kejam yang berlaku di Malaysia ada kaitan dengan masalah penyalahgunaan dadah. Gambar hiasan
A
A
A

MINGGU lepas, bandar raya Alor Setar yang tenang dikejutkan dengan penemuan mayat ibu dan anak perempuannya di dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim.

Mangsa yang masing-masing berusia 34 dan 10 tahun ditemui oleh orang awam sebelum bertindak menghubungi polis.

Kedua-duanya ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil dengan kesan kelar pada leher di kedua-dua mayat.

Belum reda kegusaran penduduk setempat berhubung penemuan mayat ibu dan anak perempuannya itu, mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun pula ditemui di Pantai Leman, Kuala Kedah dipercayai anak ketiga suspek dan turut menjadi mangsa bunuh bapa kandungnya.

Hanya anak kedua suspek yang berusia lima tahun tidak diapa-apakan bapanya yang kemudiannya ditahan di Masjid Al Hidayah, Bukit Pinang.

Pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan, suspek yang hidup secara gelandangan bersama isteri dan anak-anaknya didapati positif tiga jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine dan mop.

Beliau menambah, kemungkinan tekanan hidup dan di bawah pengaruh dadah yang membawa keganasan rumah tangga hingga menyebabkan suspek melakukan perbuatan tersebut terhadap isteri dan dua anak-anaknya.

Jika dikaji semula, beberapa kes pembunuhan kejam yang berlaku di Malaysia ada kaitan dengan masalah penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah tergamak membunuh ibunya dengan tukul besi dan kasut keselamatan di kediaman mereka dekat Kampung Jawa, Shah Alam pada bulan Februari lepas.

Pada Disember tahun lalu, seorang lelaki tergamak menikam mati ibu bapanya berikutan suspek tidak diberi wang untuk membeli dadah di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

Kejadian terbaharu berlaku di Alor Setar itu mengimbas semula tragedi menyayat hati menimpa seorang wanita berusia 56 tahun yang maut dipenggal kepala dipercayai oleh anaknya di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Januari 2022, semuanya angkara dadah.

Bagi penulis, kejadian-kejadian pembunuhan ini menjadi bukti betapa bahayanya pengaruh dadah apabila manusia sanggup bertindak kejam terhadap darah daging sendiri.

Mereka hanyut dan tenggelam dalam keasyikan dadah hingga bertindak di luar pemikiran rasional.

Kerajaan amat serius menangani masalah penagihan dadah apabila pihak penguat kuasa menjadikan daerah paling tinggi mempunyai kes dadah sebagai sasaran utama untuk menangani isu tersebut secara lebih komprehensif dalam tempoh enam bulan ke hadapan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa daerah di Malaysia dilaporkan mempunyai jumlah tertinggi penagih berdasarkan nisbah 100,000 orang penduduk.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya mendapati Pendang, Kedah merekodkan nisbah 1,333 daripada 100,000 penduduk, diikuti dengan Machang, Bachok di Kelantan serta Besut, Dungun, Marang dan Kemaman, Terengganu.

Ujarnya, nisbah itu diperoleh hasil pemetaan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pusat Pemulihan Narkotik Swasta.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pendekatan baharu akan dilaksanakan di daerah-daerah tersebut bagi menangani isu dadah dengan lebih baik.

Sempena hari kemerdekaan negara ke-67 pada Sabtu ini, penulis berharap sambutan pada tahun ini yang bertemakan Jiwa Merdeka dapat menzahirkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif termasuklah dadah.

Tema Jiwa Merdeka itu perlu benar-benar dihayati bahawa makna kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajah, malah memerdekakan negara daripada masalah penyalahgunaan dadah.

* Nurul Hidayah Hamid ialah Wartawan Sinar Harian Biro Utara

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!