'Semak semula gaji, anggota bomba bukan hanya padam api'

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Azih
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Azih
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran untuk menyemak semula gaji anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana pendapatan diterima kini tidak setimpal dengan skop kerja yang dilakukan.

Bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, anggota beruniform itu sepatutnya menerima kadar upah yang lebih baik berbanding penjawat awam lain.

“Gaji dibayar pada anggota bomba sama dengan penjawat awam yang lain, sedangkan mereka berkhidmat dalam semua keadaan dan bersedia 24 jam jika ada kecemasan.

“Kerja mereka bukan hanya memadam kebakaran tetapi melakukan semua perkara daripada menyelamatkan binatang, tangkap haiwan berbisa dan menyelamatkan orang lemas,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka hadapan Sinar Harian mengenai pengorbanan anggota bomba dalam melakukan tugasan.

Tambah Azih, kerajaan juga boleh memberi perlindungan kepada anggota bomba melalui kaedah pemberian insentif berupa elaun khas bagi membela nasib mereka yang bekerja dalam keadaan penuh berisiko.

“Jika gaji tidak boleh dinaikkan maka wujudkan insentif (elaun risiko) ini untuk mereka. Sekurang-kurangnya ada sesuatu kelebihan untuk mengiktiraf pekerjaan mereka itu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menyarankan kerajaan menggubal semula pemberian ex-gratia kepada waris anggota yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.

Ex-gratia adalah pemberian kerajaan kepada tanggungan penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan dengan tempoh perkhidmatan kurang daripada 20 tahun atau 240 bulan bagi meringankan beban.

Azih berkata, ex-gratia diberikan pada ketika ini tidak mencukupi untuk menampung tanggungan waris kerana kadar pemberian itu jauh lebih rendah berbanding faedah yang dibayar oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Kerajaan perlu menggubal satu insentif perlindungan kepada anggota dan waris jika ada sesuatu perkara tidak diingini berlaku seperti meninggal dunia, lumpuh atau hilang keupayaan secara total.

“Insentif ini harus diperkenalkan oleh kerajaan agar mereka (anggota JBPM) dan ahli keluarganya berasa bahawa pengorbanan berbakti kepada keselamatan dan kesejahteraan orang ramai itu dihargai,” jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!