Terimalah kritikan dengan hati terbuka walaupun pahit

Media berperanan membantu rakyat mendapatkan pandangan pihak lain dalam membantu mereka membuat keputusan demi masa depan. Gambar hiasan
Media berperanan membantu rakyat mendapatkan pandangan pihak lain dalam membantu mereka membuat keputusan demi masa depan. Gambar hiasan
A
A
A

BEBERAPA hari lalu seorang penganalisis ekonomi mendedahkan, beliau telah diberi teguran berhubung satu tulisan dalam akhbar.

Beliau menulis pandangannya tentang keadaan ekonomi negara dan kedudukan semasa nilai ringgit termasuk langkah-langkah yang perlu dilakukan kerajaan.

Pada ketika itu, prestasi ekonomi negara masih belum nampak kejayaannya berbanding kini yang mulai kelihatan menyinar dan bertambah baik.

Teguran terhadap penganalisis tersebut agak ganjil kerana biasanya yang sering mendapat teguran ialah pihak akhbar yang memainkan peranan semak dan imbang, serta mengkritik dasar-dasar kerajaan yang memberi kesan kepada rakyat.

Ini merupakan peranan penting yang dimainkan oleh akhbar sejak sekian lama supaya membawa suara rakyat untuk didengari oleh pemerintah.

Malah, akhbar juga membantu kerajaan untuk menjawab dan memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai usaha-usaha penting yang dilaksanakan demi untuk rakyat.

Media juga berperanan membantu rakyat mendapatkan pandangan pihak lain dalam membantu mereka membuat keputusan demi masa depan mereka.

Oleh demikian, akhbar ini merasakan bahawa mana-mana pihak terutama kerajaan dan agensi di bawahnya untuk menerima sebarang kritikan dengan hati terbuka demi untuk kebaikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sebarang kritikan yang membina akan menjadikan Malaysia terus berada di depan dan mampu memiliki gelaran Harimau Asia seperti yang sering disebut oleh pemimpin-pemimpin negara.

Jika sebarang tulisan yang disiarkan mengandungi maklumat yang tidak benar dan terdapat unsur fitnah, maka adalah sewajarnya teguran diberikan.

Tetapi jika ada sebarang kritikan yang membina, adalah sebaiknya pihak berkenaan untuk memberikan jawapan bagi memperbetulkan sebarang salah faham yang timbul.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi demokrasi, memang sudah semestinya segala tindakan yang dilakukan adalah mencerminkan kematangan dan ketinggian profesionalisme yang paling tinggi.

Juga, terimalah kritikan secara positif kerana untuk mencapai kejayaan perlulah terbuka menerima pandangan.

Kata orang, kebenaran itu pahit untuk diterima, namun ia akan lebih memudaratkan jika kita masih dibelenggu sindrom penafian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!