Dua beradik tular warga Myanmar

A
A
A

PELABUHAN KLANG – Dua beradik berpakaian sekolah yang tular di laman sosial gara-gara menyelongkar tempat pembuangan sampah bukan warga tempatan, sebaliknya warganegara Myanmar.

Menurut Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, ibu bapa kanak-kanak terbabit merupakan pelarian Rohingya dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Katanya, pihaknya menjejaki keluarga berkenaan selepas mendapat makluman daripada netizen di laman sosial.

“Kita bersama bersama sukarelawan Team Muafakat Klang mengambil inisiatif untuk mencari keluarga adik beradik itu seawal jam 4.30 pagi tadi kerana tidak mendapat maklumat lengkap bagi menghulurkan sedikit bantuan dan sumbangan.

“Alhamdulillah kita berjaya menemui keluarga tersebut hasil maklumat pengunjung serta pekerja di Pasar Pelabuhan Klang,” katanya.

Menurut Azmizam, bapa kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Nur Islam Abdul Husson, 43, dan isterinya, Nujumah Khatu Sultan Islam, 43, tinggal di negara ini sejak 20 tahun lalu.

“Nur Islam mengambil upah sebagai pembantu di kedai menjual sayur-sayuran di pasar berkenaan dengan upah RM50 sehari, manakala isterinya tidak bekerja.

“Pasangan ini mempunyai enam anak berumur 14 hingga setahun dan menyewa di sebuah rumah kedai berhampiran pasar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan gaji diperoleh tidak mencukupi, mereka terpaksa mencari barang-barang lusuh untuk dijual bagi menampung kehidupan lapan beranak,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, sewa dan bayaran utiliti rumah yang mereka diami sekarang dibayar oleh majikan bapa kanak-kanak terbabit.

“Difahamkan, empat anak mereka, Mohammed Jubair, 14; Mohammed Junaid, 13; Sufaidah, 11 dan adiknya, Mohammed Ayas, 8, bersekolah di salah sebuah sekolah swasta di Klang,” katanya.

Menurut Azmizam, pihaknya akan mencari jalan untuk membantu keluarga tersebut bagi meringankan beban ditanggung.

“Memandangkan mereka ini warga asing tetapi atas dasar kemanusiaan, Pusat Khidmat Rakyat Dun Pelabuhan Klang akan mencari jalan untuk membantu keluarga ini bagi meringankan kos perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

“Jika orang ramai ingin menyumbang, boleh menghubungi keluarga mereka di talian 011-25481224,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada netizen kerana peka dengan perkara ini.

“Tapi kita mahu mereka bertanggungjawab bila hendak memuat turun sebarang perkara, kena ada maklumat lengkap agar tidak timbul sebarang persepsi tidak baik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!