Majikan gaji PATI cabut lari ketika diperiksa

Lapan pekerja di premis makanan ditahan kerana tiada dokumen yang sah untuk bekerja di negara ini.
Lapan pekerja di premis makanan ditahan kerana tiada dokumen yang sah untuk bekerja di negara ini.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang majikan sempat melarikan diri apabila premis makanannya yang terletak di dalam sebuah pasar raya di bandar ini diserbu oleh Bahagian Penguat kuasa Imigresen Pulau Pinang.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, majikan terbabit bertindak sedemikian selepas menyedari pekerjanya tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit yang sah untuk bekerja di negara ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, kesemua lapan pekerja warga asing terbabit ditahan untuk tindakan selanjutnya.

"Majikan tersebut tahu bahawa pekerja warga asing yang digajikannya tidak mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja di negara ini.

"Hasil pemeriksaan, kita menahan dua lelaki warga China, seorang lelaki Myanmar, empat lelaki dan seorang wanita Indonesia. Kesemua mereka berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Seorang lelaki Pakistan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.
Seorang lelaki Pakistan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.

Tambah JIM Pulau Pinang, kesemua yang ditahan disyaki tidak memiliki pas yang sah dan melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kita juga akan mengesan majikan terbabit untuk siasatan lanjut selain diambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di lokasi berasingan, JIM Pulau Pinang turut menahan seorang lelaki warga Pakistan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Lelaki berusia 46 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah rumah ibadat yang terletak di Lebuh Faquhar.

"Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati, dia gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Oleh itu, dia didapati melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

JIM Pulau Pinang menambah, kesemua tangkapan akan ditahan di Depot Imigresen Juru untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!